Solution Group serah 200,000 dos vaksin CanSino kepada KKM | DagangNews Skip to main content

Solution Group serah 200,000 dos vaksin CanSino kepada KKM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Solution Group Berhad (SGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO) menyerahkan 200,000 dos vaksin COVID-19 yang dikeluarkan CanSino Biologics Inc (CanSino) kepada Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

 

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Datuk Dr. Mohd Nazlee Kamal berkata, penyerahan itu merupakan detik bersejarah buat mereka yang telah menerima penghantaran pertama 200,000 dos vaksin Convidecia, seterusnya menyerahkannya kepada KKM.

 

“Ini merupakan dos vaksin COVID-19 tunggal yang pertama di Malaysia. Selepas ini akan ada lagi dos keluaran siap dan bahan farmaseutikal aktif (API) pukal bakal tiba dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan kami berbesar hati dapat membantu dalam memvaksinasi lebih ramai rakyat dan membendung penularan virus.

 

“Sebagai vaksin dos tunggal, vaksin Convidecia akan membantu menyokong program vaskinasi negara kerana ia lebih mudah untuk mereka yang berada di kawasan terpencil di mana aspek pengangkutan dan logistik mungkin menjadi satu masalah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Setiausaha Bahagian Perolehan dan Penswastaan, Wan Hashim; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Siti Hamisah Tapsir; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Lim Yong Hew; Ketua Pegawai Operasi SGB, Lim Chiou Kim, Naib Presiden DKSH, Nicholas McLaren dan Mohd Nazlee.

 

DARI kiri, Nicholas McLaren, Mohd Nor Azman Hassan, Lim Yong Hew, Siti Hamisah Tapsir, Mohd Shafiq Abdullah, Wan Hashim, Mohd Nazlee Kamal dan Lim Chiou Kim pada majlis penyerahan vaksin tersebut.
DARI kiri, Nicholas McLaren, Mohd Nor Azman Hassan, Lim Yong Hew, Siti Hamisah Tapsir, Mohd Shafiq Abdullah, Wan Hashim, Mohd Nazlee Kamal dan Lim Chiou Kim pada majlis penyerahan vaksin tersebut.

 

Pada 9 Ogos lalu, SOLBIO memperoleh 80 liter API secara pukal daripada CanSino yang disimpan dalam persekitaran antara 2 hingga 8 darjah Celcius.

 

API pukal itu akan digunakan untuk pengesahan proses Amalan Pembuatan Baik (GMP) yang seterusnya dapat menghasilkan kira-kira 450,000 dos vaksin Convidecia bagi 80 liter.

 

SGB menyasarkan kumpulan bakal menerima sijil GMP daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan memulakan pengeluaran tempatan di kemudahan pengisian dan penyiapan vaksinnya menjelang September.

 

Sekitar Jun 2021, SOLBIO menerima kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk membekalkan vaksin Convidecia atau keluaran CanSino itu bagi kegunaan kecemasan. - DagangNews.com