Southern Cable dapat kontrak RM30.4 juta daripada TM | DagangNews Skip to main content

Southern Cable dapat kontrak RM30.4 juta daripada TM

 

 


KUALA LUMPUR 3 Sept. - Southern Cable Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn. Bhd. memperoleh kontrak pembekalan sistem penerus (rectifier) bernilai hampir RM30.4 juta daripada Telekom Malaysia Bhd. (TM).

 

Kontrak selama 30 bulan itu akan bermula pada September 2021.

 

Menerusi kontrak itu, Southern Cable akan akan membekalkan, menghantar, memasang, menguji dan pengoperasi sistem penerus termasuk perkhidmatan kejuruteraan dan aksesori yang berkaitan untuk hab serantau TM di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

 

Pengarah Urusan Southern Cable Group, Tung Eng Hai berkata, kumpulan itu telah menyokong TM bagi tempoh lebih daripada 18 tahun dan kontrak itu adalah pesanan sistem penerus terbesar diterima daripada TM setakat ini.

 

"Kami bersedia untuk menyokong pengembangan TM untuk mempercepatkan sambungan  digital dan pelaksanaan  5G melalui Pelan Jalinan  Digital  Negara (Jendela) dengan penyediaan sistem penerus kami serta peralatan komunikasi dan lain-lain yang berkaitan.

 

"Kami mahu memainkan peranan yang lebih besar dalam merealisasikan visi negara untuk menjadi hab ekonomi digital," katanya dalam kenyataan. 

 

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, pada Ogos 2020, kerajaan melancarkan pelan Jendela bernilai RM21 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk membina infrastruktur, meningkatkan liputan dan menambahbaik kualiti jalur lebar sebagai persediaan negara ke arah penggunaan teknologi 5G. - DagangNews.com