Southern Cable peroleh kontrak RM99.6 juta daripada TNB bagi membekalkan kabel bawah tanah | DagangNews Skip to main content

Southern Cable peroleh kontrak RM99.6 juta daripada TNB bagi membekalkan kabel bawah tanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Southern Cable Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM99.6 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi membekalkan kabel bawah tanah dan konduktor.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak terbaharu itu diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn Bhd sekali gus meningkatkan jumlah nilai perjanjian pembekalan berterusan dengan TNB kepada RM854.3 juta.

 

Katanya, pesanan yang besar itu menyerlahkan keupayaan mereka menyampaikan rumusan berkualiti dan boleh dipercayai bagi memenuhi permintaan infrastruktur kuasa Malaysia.

 

 

Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata, pihaknya komited menyokong inisiatif pembangunan TNB melalui rumusan kabel yang membolehkan pengembangan grid, integrasi tenaga boleh diperbaharui (RE) dan usaha pemodenan.

 

southern cable
Tung Eng Hai

 

"Permintaan yang semakin meningkat untuk kabel dan wayar kami, didorong oleh peningkatan aktiviti dalam pusat data, pembuatan, pembinaan dan infrastruktur, memberikan peluang pertumbuhan yang ketara. 

 

"Kapasiti pengeluaran kami yang teguh memastikan bekalan yang boleh dipercayai untuk menyokong pelbagai sektor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dengan kontrak terkini, buku pesanan Southern Cable kini melebihi RM1 bilion, memberikan keterlihatan hasil yang kukuh sehingga 2026.

 

Pesanan itu merangkumi pembekalan kabel dan wayar, sistem penerus dan bateri serta produk lain yang berkaitan.- DagangNews.com