Southern Cable terima LOA daripada TNB bekal kabel, konduktor bawah tanah bernilai RM293.8 juta | DagangNews Skip to main content

Southern Cable terima LOA daripada TNB bekal kabel, konduktor bawah tanah bernilai RM293.8 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Southern Cable Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Southern Cable Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membekalkan  kabel dan konduktor bawah tanah bernilai RM293.8 juta.

 

Kontrak terbesar yang diraih kumpulan itu memerlukan Southern Cable menghantar kabel bawah tanah dan konduktor voltan rendah dan sederhana ke Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB untuk tempoh setahun bermula Julai 2022 dengan pilihan lanjutan kontrak selama setahun.

 

Sebelum ini, kumpulan itu pernah meraih LOA yang sama daripada TNB sejak 2019.

 

Pengarah Urusan Southern Cable Group Berhad, Tung Eng Hai berkata, LOA baharu itu mengkuhkan kedudukan mereka selaku pembekal utama kepada TNB untk tempoh 18 tahun dan memberikan mereka peluang menyokong keperluan negara untuk infrastruktur tenaga sejajar dengan pembangunan yang lebih besar.

 

"Kontrak terbesar setakat ini menjadikan jumlah tempahan Southern Cable kepada lebih RM800 juta dan akan dipenuhi secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

"Ia akan meningkatkan prospek pendapatan kami untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2022 dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

cable
Tung Eng Hai 

 

Menerusi LOA baharu daripada TNB itu, kadar tempahan semasa kumpulan berada pada paras RM816.3 juta dan akan dipenuhi sehingga 2024.

 

Tempahan sedia ada itu merangkumi RM466.7 juta daripada kontrak jangka panjang dan pembelian jangka pendek belum dibil berjumlah RM349.6 juta.

 

Hampir 90% daripada pendapatan Southern Cable pada 2021 disumbangkan daripada kabel kuasa dan wayar yang dibekalkan kepada pembekal utiliti seperti TNB; penjual semula; kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), dan lain-lain.

 

Selain daripada pembuatan dan pembekalan kabel sektor kuasa, Southern Cable juga mengeluarkan dan membekalkan kabel dan wayar komunikasi untuk sektor telekomunikasi, dan kabel dan wayar kawalan dan instrumentasi yang digunakan dalam industri pembuatan dan pemprosesan.

 

Eng Hai berkata, pemulihan aktiviti ekonomi di Malaysia memberi petanda yang baik untuk kumpulan itu dan menjangkakan pesanan yang lebih tinggi daripada pelbagai industri termasuk telekomunikasi, dan pembinaan serta infrastruktur pada masa hadapan.

 

"Kemudahan bersepadu kami dan kabel serta wayar yang diperakui antarabangsa disokong oleh rangkaian pengedaran yang kukuh bagi memenuhi mana-mana industri di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com