Southern Power Generation mula tugas | DagangNews Skip to main content

Southern Power Generation mula tugas

 

 


KUALA LUMPUR 19 Feb. - Southern Power Generation Sdn. Bhd. (SPG) kini bersedia untuk menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas kitaran gabungan (CCGT), masing-masing berkapasiti 720MW.

 

Pengarah Urusan, TNB Power Generation Sdn. Bhd., Datuk Nor Azman Mufti berkata, SPG kini boleh beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya berikutan unit kedua (Unit 2) Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada tengah malam (pukul 00:00) hari ini.

 

Katanya, Unit 1 juga mencapai tarikh operasi komersial pada 1 Januari 2021. 

 

"Dengan tercapai COD Unit 2 ini, sejumlah 720MW lagi penjanaan disalurkan kepada kapasiti penjanaan sedia ada di Semenanjung Malaysia, membawa jumlah keseluruhan penjanaan kepada 25,962MW.

 

"Kejayaan SPG dapat dilakukan hasil usaha kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan termasuk pengawalselia, pihak berkuasa, rakan projek, pemodal dan kontraktor," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Datuk Nor Azman Mufti
Datuk Nor Azman Mufti

 

 

Beliau menyifatkan ia satu pencapaian bermakna buat TNB dalam menjayakan projek-projek utama negara.

 

Nor Azman berkata, kedua-dua loji itu terletak secara strategik di bahagian selatan Malaysia iaitu Pasir Gudang, Johor dan berperanan penting dalam mengukuhkan kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

 

Kedua-dua loji ini dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh REMACO, anak syarikat TNB Power Generation Sdn. Bhd. TNB Power Generation adalah anak syarikat milik penuh TNB yang membangunkan, mengendalikan serta menyelenggara portfolio unit penjanaan tenaga milik TNB.

 

SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA). Kedua-dua lojinya menggunakan gas asli sebagai bahan bakar utama.

 

Bekalan elektrik yang dijana menggunakan teknologi tarbin pembakaran 9HA.02 daripada General Electric (GE) yang dijangka mencapai kecekapan loji kitarpadu melebihi 60%.

 

SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan tarbin gas 9HA.02 terbaharu dan paling cekap dihasilkan GE.

 

TNB dan anak syarikat milikan penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. memiliki saham majoriti sejumlah 70% dalam SPG sementara SIPP Energy Sdn. Bhd. memegang baki 30%. - DagangNews.com