SP Setia dijangka lupus tanah di Tebrau pada harga lebih tinggi selepas gagal jual kepada Scientex, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

SP Setia dijangka lupus tanah di Tebrau pada harga lebih tinggi selepas gagal jual kepada Scientex, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Kegagalan SP Setia Berhad melupuskan sebidang tanah di Tebrau kepada Scientex dijangka memberikan keuntungan kepada kumpulan itu memandangkan prospek pasaran hartanah di Johor semakin baik.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, walaupun kegagalan itu menyebabkan rancangan SP Setia untuk mengurangkan perbelanjaan menjadi lebih perlahan tetapi ia membuka ruang kepada mereka untuk melupuskan tanah itu pada harga yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu mengakui agak terkejut dengan kegagalan itu kerana pelupusan tanah itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan SP Setia kepada 0.48x berbanding 0.53x pada 2023. 

 

"Pada pandangan kami, keadaan itu mungkin memberi kelebihan kepada SP Setia memandangkan permintaan semakin meningkat untuk hartanah Johor, yang membolehkan mereka menaikkan lagi harga tanah itu.

 

"Bagaimanapun kami menyamak turun unjuran pendapatan kumpulan itu sebanyak 40% dan 6% bagi FY24 dan FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Scientex cadang pengambilalihan tanah seluas 388 hektar bernilai RM547.7 juta di Tebrau

 

Terdahulu, pada Julai 2023, anak syarikat Scientex, Scientex Lestari Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan anak syarikat SP Setia Pelangi Sdn. Bhd. untuk memperoleh tanah seluas 388.5 hektar berharga RM547.7 juta.

 

Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi Scientex untuk mengembangkan jejak pembangunan hartanahnya di Johor, menambah enam perbandaran sedia ada yang terletak di Pasir Gudang, Kulai, Skudai, Senai, Pulai dan Kota Tinggi.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini, SP Setia berkata, penamatan itu disebabkan ia tidak memenuhi syarat berkaitan dengan kelulusan Unit Perancang Ekonomi bagi pengambilan tanah oleh Scientex Lestari.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.18 sesaham.- DagangNews.com