SP Setia, Sime Darby Property dalam kedudukan terbaik raih manfaat daripada pembangunan hijau - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

SP Setia, Sime Darby Property dalam kedudukan terbaik raih manfaat daripada pembangunan hijau - CGS CIMB

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Sektor pembinaan dan bangunan di Malaysia dijangka bergerak ke arah memenuhi agenda pembangunan hijau sejajar dengan hasrat untuk mencapai bebas karbon menjelang 2050. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Ting berkata, pihak berkepentingan dalam sektor tersebut dilihat akan menerima keperluan bangunan hijau secara beransur-ansur kerana meningkatnya fokus kepada kemampanan daripada pelabur hartanah dan kod tenaga yang lebih ketat daripada pembuat dasar bagi menangani perubahan iklim. 

 

Katanya, ia akan menyaksikan terdapatnya keperluan untuk melaksanakan dekarbonisasi dalam projek pembinaan menerusi beberapa langkah antaranya, melaksanakan kod tenaga mandatori bangunan dan memperoleh pensijilan hijau bagi projek atau bangunan.

 

"Di samping itu, ini boleh dilaksanakan dengan meningkatkan penggunaan sistem bangunan perindustrian (IBS) dalam projek pembinaan dan memperluaskan bahan binaan mesra alam. 

 

"Dalam hal ini, kami percaya, pemain industri hartanah akan mengutamakan bangunan perindustrian/komersial hijau memandangkan kebolehpasaran dan harga premium jualan yang lebih tinggi, kerana syarikat perlu menangani isu berkaitan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pada masa sama mengurangkan pelepasan karbon. 

 

"Tetapi, bangunan kediaman hijau mungkin tidak berupaya mencapai harga jualan premium kerana pembeli rumah dalam pasaran yang luas begitu sensitif dengan harga hartanah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan semakan yang dijalankannya, kos premium bagi pembinaan bangunan hijau berada dalam julat antara 0 hingga 14% berbanding bangunan konvensional. 

 

Malah, kajian empirikal yang diterbitkan Knight Frank dan MDPI turut menunjukkan bangunan komersial hijau mampu memperoleh jualan premium yang lebih tinggi berbanding bangunan konvensional.

 

"Namun, kos premium pembinaan hijau yang lebih tinggi berbanding prajualan premium hijau yang lebih rendah untuk bangunan kediaman sedemikian boleh menjejaskan margin pemaju," jelas beliau.

 

Siew Teng berkata, pemain sektor hartanah yang memiliki pengalaman dalam mereka bentuk dan memperoleh pensijilan hijau bagi projek atau bangunan mereka serta memiliki kemudahan mengeluarkan IBS, akan meraih manfaat daripada permintaan bangunan dan projek hijau yang semakin meningkat. 

 

"Oleh itu, SP Setia Bhd. dilihat akan mendapat kelebihan ini kerana ia mempunyai pengalaman memperoleh pensijilan hijau dan juga memiliki kilang pengeluaran IBS. 

 

"Di samping itu, Sime Darby Property turut memiliki prospek yang cerah, tambahan pula ia menetapkan matlamat dan pelan tindakan di bawah Matlamat Kemampanan 2030 meliputi aspek pembangunan bangunan hijau," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor hartanah setelah mengambil kira isu berkaitan mampu milik, kemungkinan kenaikan kadar faedah dan hartanah tidak terjual masih tinggi. 

 

Bagi SP Setia dan Sime Darby Property pula, firma ini mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran masing-masing pada RM1.81 dan 84 sen. - DagangNews.com