Wakil Spritzer menyerahkan sumbangan air minuman kepada mangsa banjir di Johor.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Spritzer Malaysia (Spritzer) , yang mengeluarkan air mineral semulajadi paling laris di Malaysia, telah menyertai usaha dengan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan mengedarkan air mineral kepada mereka.
Spritzer sejak 7 Januari 2021 telah menghulurkan bantuan berbentuk air mineral di kawasan terjejas banjir di pantai timur dan selatan Semenanjung merangkumi Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.
Sehingga kini, lebih daripada 25,000 botol air mineral telah diedarkan dan lebih banyak akan disumbangkan dalam usaha yang berterusan ini.
Dengan sokongan penuh subsidiari dan pengedar Spritzer, Syarikat dapat memberikan bantuan di seluruh negara, termasuk kawasan yang terjejas akibat banjir.
Syarikat mempunyai sejarah yang panjang dalam menyumbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan berharap bantuan terbaru ini akan membantu mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir ketika pandemik COVID-19 yang sudah cukup menjejaskan ramai orang.
Air yang bersih dan selamat untuk diminum adalah penting untuk mangsa-mangsa banjir kerana ia berperanan penting dari mengelakkan penyakit dan pada masa sama, mengekalkan tahap hidrasi mereka.
Spritzer sentiasa percaya kepada konsep menyumbang kembali kepada masyarakat dan syarikat sentiasa bersedia untuk menyediakan air yang bersih dan selamat diminum memandangkan apabila berlakunya situasi banjir, sumber air tempatan akan tercemar dan tidak selamat untuk digunakan, malah untuk tujuan membersihkan badan.
Spritzer mendapat sumber airnya daripada fasiliti yang selamat di Taiping, Perak yang dikelilingi oleh hutan hujan tropika berusia hampir 200 juta tahun. - DagangNews.com