SPRM: Abdul Azeez belum bebas daripada tuduhan rasuah, pengubahan wang haram | DagangNews Skip to main content

SPRM: Abdul Azeez belum bebas daripada tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

PUTRAJAYA 7 Sept - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim belum bebas daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Rayuan.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM merujuk kepada kenyataan peguam bela bekas Pengerusi Tabung Haji tersebut iaitu Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa ''analisis laporan kewangan oleh SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah''. 

 

''SPRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

 

''SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,'' kata suruhanjaya tersebut.

 

Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

 

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

 

Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

 

 

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

 

 

Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan. - DagangNews.com