Pertumbuhan jualan positif di peringkat global, TA Securities yakin terhadap prospek semikonduktor Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan jualan positif di peringkat global, TA Securities yakin terhadap prospek semikonduktor Malaysia

Gambar hiasan oleh Toon Lambrechts
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - TA Securities yakin terhadap prospek semikonduktor Malaysia didorong pertumbuhan positif jualan semikonduktor global.

 

Katanya, selain itu, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan mewujudkan lebih banyak peluang lencongan perdagangan untuk Malaysia di bawah strategi China Plus One. 

 

"Pelaksanaan berterusan Strategi Semikonduktor Kebangsaan akan membantu pemain tempatan meningkatkan rantaian nilai dalam industri semikonduktor global," katanya dalam satu nota kajian.

 

Menurut laporan SEMI World Fab Forecast terkini, industri semikonduktor global dijangka memulakan 18 projek pembinaan fab baharu pada 2025 dengan ia dijangka mula beroperasi dari 2026 hingga 2027.

 

Pada 2025, AS dan Jepun mendahului dengan empat projek setiap satu, manakala China dan rantau Eropah adan Asia Barat masing-masing mempunyai tiga projek yang dirancang.

 

Pengembangan kapasiti global didorong teknologi logik termaju dalam aplikasi pengkomputeran berprestasi tinggi serta peningkatan penembusan AI generatif dalam peranti terkini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pentadbiran AS bercadang memperkenalkan satu lagi pusingan sekatan ke atas eksport cip AI ke negara tertentu.

 

Katanya, peraturan baharu itu akan mewujudkan sistem tiga peringkat untuk had perdagangan cip.

 

Sistem yang dicadangkan akan memberikan sekutu utama akses hampir tidak terhad kepada cip AS sambil mengehadkan akses dengan ketara untuk pencabar mereka.

 

"Kami percaya sebahagian besar negara, termasuk Malaysia, mungkin akan jatuh ke peringkat kedua sekatan.

 

"Peringkat ini akan menghadapi had pada import cip AI, walaupun had yang lebih tinggi boleh diberikan jika ia mematuhi piawaian tertentu.

 

"Secara amnya, kami neutral dalam perkembangan ini, kerana kami percaya peraturan yang dicadangkan itu tidak mungkin memberi kesan ketara kepada sektor semikonduktor Malaysia pada masa ini, memandangkan sektor itu masih belum membangunkan pendedahan langsung yang besar kepada cip AI Amerika.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu. - DagangNews.com