KUALA LUMPUR 20 Feb - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat Laporan Ketua Audit Negara berhubung ketirisan pembelian ventilator oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang diluluskan pada 25 Mac 2020.
Ketua Pemuda Umno Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau juga memohon pihak kerajaan untuk melihat isu tersebut yang mana mengakibatkan sebanyak RM13 juta wang rakyat dibazirkan begitu sahaja.
Katanya, Kabinet ketika itu bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada KKM terhadap tatacara perolehan darurat untuk membeli 500 unit ventilator yang mana duit pendahuluan telah dibayar sebanyak RM30 juta kepada pembekal.
“Tetapi syarikat berjaya untuk bekalkan 136 unit sahaja.
"Daripada 136 unit hanya 28 sahaja selamat digunakan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Muhamad Akmal yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Melaka berkata, bagaimnapun baki daripada 108 unit, hanya 15 sahaja yang boleh diserahkan kepada pengilang untuk ganti rugi.
Katanya, baki 93 unit tidak dapat dipulangkan disebabkan tiada dokumen perolehan daripada KKM kepada syarikat pembekal.
“Pelik bin ajaib, kalau kita beli telur di pasar raya pun kita dapat resit dan sebagainya untuk bukti pembelian, tetapi ini beli ventilator berjuta ringgit nilainya tiada dokumen perolehan langsung?
“Tidak kira siapa pun yang terlibat waima parti mana sekalipun, jika terbukti bersalah maka tindakan keras perlu diambil terhadap mereka,” tegasnya.
Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd membekalkan KKM 93 alat pengudaraan yang rosak semasa pandemik COVID-19 yang menyebabkan kerajaan kerugian dianggarkan RM13.07 juta.
Laporan Ketua Audit Negara 2021 (Siri 2), yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis lepas, menyatakan mesyuarat Kabinet pada 25 Mac 2020, telah bersetuju untuk Pharmaniaga Logistics, anak syarikat farmaseutikal tersenarai Pharmaniaga Bhd, membekalkan 500 ventilator baharu daripada pengilang luar negara. - DagangNews.com