SsangYong Motor berdepan ketidaktentuan | DagangNews Skip to main content

SsangYong Motor berdepan ketidaktentuan


SEOUL 17 Ogos – SsangYong Motors, syarikat automotif keempat terbesar di Korea Selatan yang dimiliki firma India, Mahindra & Mahindra Ltd. kini berdepan dengan masa depan yang tidak menentu, termasuk dinyahsenaraikan daripada bursa Korea (KRX).

Syarikat tersebut berdepan kerumitan setelah firma audit enggan mengesahkan penyata kewangan separuh tahun berikutan krisis kecairan wangnya. SsyangYong mempunyai masa sehingga akhir tahun ini untuk menyelesaikan isu itu atau berdepan tindakan nyahsenarai, lapor akhbar Korea Joongang Daily.

Memetik Samjong KPMG yang merupakan pengaudit syarikat automotif tersebut, liabiliti yang ditanggung SsangYong melebihi aset cair sebanyak 447.9 bilion won (RM1.58 bilion), yang menyebabkan kewujudan syarikat di masa hadapan terumbang-ambing.

Menurut laporan itu, SsangYong mencatat kerugian operasi sebanyak 215.8 bilion won dan kerugian bersih sebanyak 202.4 bilion won pada separuh pertama tahun ini. Hutang syarikat kini berjumlah 1 trilion won manakala asetnya dinilaikan sekadar 537.6 bilion won.

Samjong KPMG juga tidak mahu mengesahkan penyata kewangan untuk suku pertama tahun ini.

Akibatnya, Jumaat lalu bursa Korea mengklasifikasikan SsangYong di dalam kategori ‘bermasalah tadbir urus’ dan sahamnya di papan utama digantung yang hanya dibenarkan didagangkan pada 19 Ogos ini.

Diklasifikasikan `bermasalah tadbir urus’ menunjukkan syarikat itu telah gagal meraih kecairan yang ditetapkan bagi sesebuah syarikat tersenarai awam dan juga amaran kepada pelabur bahawa syarikat itu bakal berdepan tindakan nyahsenarai akibat isu kecairan.

 

rxtorn
Model pacuan empat roda SsangYong Rexton agak popular ketika mula diperkenalkan di Malaysia.


``SsangYong Motor kini terdesak untuk mendapatkan pelabur baharu bagi menghidupkan semula perniagaannya,’’ kata Korea Joongang Daily.

Syarikat induknya, Mahindra & Mahindra, yang menguasai hampir 75% kepentingan, telah menyatakan awal bulan ini bahawa ia berhasrat menurunkan pemilikannya di bawah 50% dan melepaskan statusnya sebagai pemegang saham utama jika ada pelabur baharu yang masuk.

Syarikat automotif China iaitu Geely dan BYD, serta Vietnam, Vinfast disebut-sebut sebagai berminat tetapi belum ada kenyataan rasmi diumumkan.

SsangYong Motor berada di dalam kesulitam sejak awal tahun ini berikutan Mahindra & Mahindra membatalkan rancangan untuk menyuntik 230 juta won ke dalam syarikat, sebaliknya bersetuju memberi dana kecemasan sekali sahaja berjumlah 40 bilion won.

Rentetan itu, SsangYong terpaksa menjual asetnya seperti pusat logistik di Busan pada harga 20 bilion won dan pusat servis selepas jualan di Seoul pada harga 180 bilion won.

Syarikat juga mengambil langkah memotong gaji dan manfaat am pekerja untuk menjimatkan 100 bilion won tahun ini. Ia membolehkan syarikat membayar hutang 8.7 bilion kepada KB Kookmin Bank. – DagangNews.com