(Dari kiri) Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Leong Weng Choong, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar dan Pengurus Besar Perbankan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Raj Tatavarty.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Standard Chartered Malaysia dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) menandatangani perjanjian penyediaan pembiayaan dana berjumlah RM100 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak COVID-19.
Perjanjian tersebut meletakkan Standard Chartered Malaysia sebagai penyumbang bantuan kewangan tertinggi dalam kalangan bank asing lain di Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak berkata, perjanjian SCB-CGC bernilai RM100 juta itu bertujuan untuk menyediakan modal kerja kepada PKS untuk meneruskan perniagaan dalam situasi ekonomi yang mencabar.
"Masanya sangat tepat dan inisiatif ini sendiri dilihat sesuai kerana menyokong pelan ekonomi PENJANA untuk membantu Malaysia membina ekonomi seperti diumumkan Perdana Menteri kita," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengurus Besar Perbankan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Raj Tatavarty dan Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Leong Weng Choong.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar memberitahu, pihaknya gembira dapat menjalinkan lagi kerjasama dengan CGC kerana bantuan kewangan menjadi penyelesaian utama untuk kebanyakan perniagaan.
"Dengan kerjasama ini juga, Standard Chartered dan CGC telah melancarkan 15 perjanjian (tranches) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.61 bilion.
"Ramai PKS di Malaysia menerima manfaat daripada pinjaman yang dijamin oleh CGC daripada Standard Chartered dan kami berharap akan menerima lebih banyak permohonan," tambahnya.
Mengulas berkaitan bantuan pembayaran balik yang diberikan bank, Abrar memberitahu, pihaknya juga telah menyusun beberapa pakej bantuan untuk PKS dengan pengecualian yuran penstrukturan dan platform digital, memberi kadar faedah yang tinggi untuk akaun semasa, harga istimewa dan perlindungan insurans percuma yang berkaitan dengan wabak COVID-19.
"Manakala untuk PKS perdagangan pula, kami juga mengecualikan yuran kemudahan perdagangan untuk surat kredit dan caj pengendalian eksport di samping memberikan harga FX pilihan untuk membantu mereka menguruskan aliran tunai.
"Standard Chartered Malaysia juga menyediakan program bantuan pembayaran balik pinjaman kepada individu yang kehilangan kerja atau berdepan dengan masalah pengurangan gaji," jelasnya. - DagangNews.com