Standard Chartered Malaysia diiktiraf bank ketiga terbaik Malaysia dalam tinjauan Forbes | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered Malaysia diiktiraf bank ketiga terbaik Malaysia dalam tinjauan Forbes

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Standard Chartered Malaysia telah diiktiraf sebagai bank ketiga terbaik di Malaysia berdasarkan tinjauan pasaran World's Best Banks 2023 Forbes.

 

Standard Chartered berkata pengiktirafan itu menyerlahkan komitmen berterusannya dalam menyampaikan pengalaman perkhidmatan pelanggan yang cemerlang di samping menyediakan penyelesaian perbankan inovatif dan lancar bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

 

Tinjauan Forbes itu dibangunkan dengan kerjasama Statista, firma penyelidikan pasaran terkenal melibatkan responden yang terdiri daripada lebih 48,000 pelanggan bank di 32 negara berbeza.

 

Ia dijalankan dengan mengenal pasti maklum balas pelanggan terhadap kepuasan umum, kepercayaan, terma dan syarat, perkhidmatan digital, perkhidmatan pelanggan dan nasihat kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berterima kasih kepada pelanggan di atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka selama ini.

 

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan yang bermakna dan berprestij ini kerana ia menekankan komitmen kami untuk menjadi bank yang dipercayai, inovatif tanpa rasa takut dan tanpa sempadan yang diterajui secara digital.

 

 

Mak Joon Nien
Mak Joon Nien

 

 

“Sebagai bank pertama dan tertua di Malaysia beroperasi selama 148 tahun, kami terus komited mengekalkan pengalaman pelanggan sebagai teras penawaran nilai, menawarkan perkhidmatan perbankan terbaik dan menyediakan nasihat kewangan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Standard Chartered telah tampil ke hadapan dalam inovasi perbankan digital melalui membina dan memanfaatkan perkongsian sedia ada serta mengubah terasnya untuk menyediakan pelanggan dengan produk dan perkhidmatan yang inovatif.

 

Bank ini adalah salah satu perintis di Malaysia yang memperkenalkan Apple Pay bagi menyediakan pembayaran yang mudah, selamat dan tanpa sentuhan kepada pelanggannya.

 

"Standard Chartered juga telah memperkenalkan SmartStocks, platform dagangan saham dalam talian sehenti yang memenangi anugerah, memberikan pelanggan kemudahan berdagang di 12 bursa merentasi tujuh pasaran global melalui satu akaun pada mana-mana peranti yang didayakan web atau pintar," kata bank itu dalam kenyataan tersebut.

 

Standard Chartered Saadiq Malaysia, cabang perbankan Islam bank itu turut diiktiraf sebagai Bank Islam Terbaik di Malaysia 2023 oleh Anugerah Digital CX baru-baru ini.

 

Selain itu, bank itu juga telah melancarkan akademi kekayaan dengan kerjasama INSEAD untuk meningkatkan keupayaan pengurus perhubungan dan pakar kekayaannya agar dapat memberikan nasihat dan penyelesaian yang diperibadikan dan berkualiti tinggi kepada pelanggan serta menawarkan pengalaman yang berbeza. -DagangNews.com