Standard Chartered Malaysia lancar program pendidikan global Wealth Academy | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered Malaysia lancar program pendidikan global Wealth Academy

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Januari - Standard Chartered Malaysia melancarkan Wealth Academy dengan kerjasama INSEAD untuk program pendidikan global merangkumi keterlibatan pelanggan dan pengurusan kekayaan untuk Pengurus Perhubungan dan Pakar Kekayaan di bank tersebut. 

 

Pelancaran itu adalah susulan kejayaan program itu di Hong Kong dan Singapura.

 

Pasukan perhubungan bank itu akan menjalani program peningkatan kemahiran bagi memupuk mereka menjadi penasihat kekayaan yang bersiap sedia untuk masa hadapan, memberi nasihat tepat pada masanya, memberi sentuhan peribadi dan berkualiti tinggi kepada pelanggan. 

 

Program itu terdiri daripada tiga bahagian iaitu Diploma, Pengijazahan dan Sarjana yang berstruktur namun menawarkan fleksibiliti bagi memberi ruang kepada pembangunan individu mengikut keutamaan dan matlamat mereka.

 

Ketua Perbankan Pengguna, Swasta dan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Sammeer berkata, kerjasama itu bertujuan mengukuhkan agenda strategik bagi mengembangkan perniagaan perbankan.

 

 

Sammeer
Sammeer

 

 

“Standard Chartered berada dalam kedudukan yang unik untuk membantu pelanggan mengembangkan dan melindungi kekayaan mereka. 

 

“Kami percaya pelaburan terhadap kakitangan kerana hanya pasukan perhubungan yang cekap dan berpengalaman mampu menyampaikan pengalaman yang berbeza kepada pelanggan,” katanya yang berharap kerjasama dengan INSEAD dapat meningkatkan keupayaan pekerja yang terlibat.

 

Dekan Pendidikan Eksekutif dan Profesor Pengurusan Teknologi dan Operasi INSEAD, Sameer Hasija berkata, matlamat INSEAD sebagai rakan kongsi untuk perbincangan intelektual agar organisasi dapat meningkatkan kemahiran pekerja mereka, memupuk rasa ingin tahu dan membantu memupuk  perkembangan minda. 

 

“Kami hargai kerjasama strategik untuk jangka panjang yang berkembang dari semasa ke semasa.

 

“Kerjasama yang membantu organisasi untuk menjelajah ilmu yang belum diteroka dan memberikan alat, kemahiran dan ilmu kepada pegawai mereka agar bermanfaat bukan sahaja diri mereka sendiri tetapi juga pelanggan mereka,” katanya.

 

Sameer juga berkata, kerjasama tersebut meningkatkan dan mengeratkan hubungan kedua-dua organisasi tersebut dan memerhatikan hala tuju Pendidikan Eksekutif INSEAD. – DagangNews.com