Standard Chartered Malaysia lancar Signature CIO Funds dengan pelaburan serendah RM1,000 | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered Malaysia lancar Signature CIO Funds dengan pelaburan serendah RM1,000

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai - Standard Chartered Malaysia melancarkan empat portfolio dana dinamakan Signature CIO Funds bagi menawarkan peluang kepada pelabur runcit untuk melabur dalam portfolio yang menggunakan strategi lebih seimbang sambil memanfaatkan keupayaan pengurusan aset Amundi, sebagai pengurus aset teratas di Eropah.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata dana tersebut dibangunkan berdasarkan pendapat Ketua Pejabat Pelaburan (CIO) mereka, diketuai oleh Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan, Steve Brice dengan kerjasama Amundi.

 

Tambahnya, dana tersebut diwujudkan untuk menangani ketidaktentuan pasaran kewangan dengan menawarkan pulangan terlaras risiko yang mampan untuk pengumpulan kekayaan jangka panjang melalui kepelbagaian.

 

Menurut bank tersebut, Signature CIO Funds terdiri daripada empat portfolio dana pelbagai aset global dengan pelaburan serendah RM1,000 dan disediakan untuk objektif pelaburan dan profil risiko berbeza.

 

Empat portfolio dana itu adalah Signature CIO Income Fund, Signature CIO Conservative Fund, Signature CIO Balanced Fund dan Signature CIO Growth Fund.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Pengguna, Swasta dan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Sammeer berkata strategi terbukanya membolehkan bank itu mengukuhkan cadangan secara berterusan dalam menawarkan rumusan teratur yang menyokong keperluan pelanggan.

 

“Dengan tawaran terbaru kami, Signature CIO Funds, pelabur mampu mencapai matlamat kewangan mereka dengan mudah dan yakin dalam keadaan pasaran yang mencabar,” katanya.

 

 

Sammeer
Sammeer

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Standard Chartered, Steve Brice berkata Signature CIO Funds membantu pelabur membuat keputusan termaklum terhadap landskap ekonomi yang sentiasa berubah.

 

“Memandangkan cabaran dan konflik bagi separuh kedua 2023 telah dikenal pasti, strategi kami adalah menyediakan pendekatan terbaik, memanfaatkan peluang landskap ekonomi semasa yang membolehkan pelanggan kami kekal teguh ke arah mencapai matlamat pelaburan mereka.

 

“Dibangunkan berdasarkan pendapat Pejabat CIO, dana ini akan membantu pelabur mengelakkan kecenderungan tingkah laku seperti 'lumpuh analisis' atau perdagangan berlebihan yang mungkin memudaratkan pulangan pelaburan jangka panjang,” ujar beliau.

 

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang Signature CIO Funds di  https://www.sc.com/my/investments/signature-cio-funds/ - DagangNews.com