Standard Chartered perkenal penyelesaian 'Sustainable Account' untuk pelanggan korporat | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered perkenal penyelesaian 'Sustainable Account' untuk pelanggan korporat

KUALA LUMPUR 4 Jan - Standard Chartered Bank Malaysia Berhad dan unit perbankan Islamnya, Standard Chartered Saadiq Berhad memperkenalkan penyelesaian Sustainable Account untuk pelanggan korporat susulan kejayaan pelancaran global pada November 2021.

 

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian itu memenuhi keperluan korporat yang ingin menggunakan lebihan tunai mereka untuk menyumbang kepada pembangunan mampan di samping mengekalkan akses harian kepada modal itu untuk keperluan mudah tunai.

 

Tunai yang dimasukkan ke dalam Sustainable Account akan menjadi rujukan bagi projek yang seiring dengan kerangka produk hijau dan mampan bank itu, yang dibangunkan dengan sokongan Sustainalytics, penyedia bebas terkemuka bagi penyelidikan dan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

 

“Pelanggan boleh melihat impak asas aset kewangan mampan Standard Chartered setiap tahun dalam Laporan Impak Kewangan Mampan," katanya, lapor Bernama.

 

Ketua Perbankan Transaksi Standard Chartered Malaysia, Samuel Ding berkata, wujud peluang besar untuk  sektor awam dan swasta  bekerjasama memacu peralihan kepada pelepasan karbon sifar bersih dengan menggerakkan aset kepada perkara yang memerlukan untuk menampung jurang pembiayaan AS$94.8 trilion (RM417.59 trilion).

 

“Sustainable Account kami membolehkan korporat yang terlibat menerapkan kemampanan ke dalam pengurusan tunai, di samping mengimbangi keperluan mudah tunai mereka.

 

“Apabila memahami impak aset kewangan mampan, korporat boleh membuat keputusan berdasarkan lebih banyak maklumat untuk mempercepat agenda kemampanan mereka,” katanya.

 

Pada 2022, Standard Chartered merekodkan US$12.9 bilion aset mampan dalam Portfolio Kewangan Mampan, pertumbuhan sebanyak 40% tahun ke tahun, manakala aset hijau operasinya telah membantu mengelakkan 1.3 juta tan pelepasan karbon. - DagangNews.com