KUALA LUMPUR 21 Mac – Starbucks mengumumkan perkongsian bersepadu dengan Grab, superapp terkemuka di Asia Tenggara, merentasi enam pasaran, termasuk Filipina, Thailand, Singapura, Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Perkongsian itu akan menyediakan pelanggan di seluruh Asia Tenggara dengan Pengalaman Starbucks yang lancar, membolehkan mereka memperoleh manfaat Starbucks Rewards atas pembelian melalui Grab, mempunyai lebih banyak cara untuk memesan dan membayar di kedai, dan menikmati pesanan Starbucks mereka lebih awal dengan penghantaran jarak jauh melalui rangkaian penghantaran Grab.
Pelanggan akan dapat menikmati pengalaman yang lebih diperibadikan dan mudah yang mengeratkan hubungan mereka dengan Starbucks melalui rangkaian perkhidmatan Grab termasuk GrabPay, GrabRewards, GrabFood, GrabExpress dan GrabGifts.
Membina komitmen bersama Starbucks dan Grab untuk mencipta impak positif, perkongsian itu juga akan membantu menyediakan bantuan makanan kepada komuniti yang memerlukan di seluruh Asia Tenggara, sambil mengurangkan sisa makanan, melalui pengembangan program sumbangan makanan Starbucks FoodShare, bermula di Filipina Mac ini.
Naib presiden, produk dan pemasaran, Starbucks Asia Pasifik, Erin Silvoy berkata, sebagai satu wilayah yang paling tinggi berhubung secara digital di dunia, Asia Tenggara terus memberi inspirasi kepada syarikat itu untuk meningkatkan Pengalaman Starbucks.
“Perkongsian kami dengan Grab membolehkan kami menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk mencipta Pengalaman Starbucks yang sesuai untuk mereka, sambil turut membantu memberikan impak positif dalam komuniti yang kami layani melalui program FoodShare,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saad Ahmed, Pengarah Urusan, Komersial di Grab berkata, pengguna menyukai kemudahan penghantaran makanan tetapi mereka juga menikmati masa bertemu dengan rakan-rakan di Starbucks sambil menikmati secawan kopi.
''Kami percaya pesanan dalam talian dan pengalaman menjamu selera dalam kedai akan menjadi lebih berhubung, kerana jenama di Asia Tenggara mencari cara untuk merapatkan saluran ini.
''Kami teruja untuk bekerjasama dengan Starbucks, salah satu peruncit kopi yang paling ikonik dan digemari, dalam perkongsian luas ini untuk menyampaikan pengalaman yang lebih diperibadikan, bermanfaat dan lancar kepada pelanggan kami,” tambahnya.
Program kesetiaan bersepadu yang pertama untuk Starbucks di Asia Tenggara, Starbucks akan menyepadukan Starbucks Rewards dengan platform Grab supaya pelanggan boleh menikmati lebih banyak cara untuk memperoleh ganjaran daripada pesanan Starbucks mereka.
Ahli Starbucks Rewards akan dapat memautkan akaun mereka dengan GrabRewards untuk memperoleh kedua-dua mata Stars dan GrabRewards untuk setiap pesanan yang dibuat melalui GrabFood.
Di masa hadapan, pelanggan juga akan mempunyai pilihan untuk mendaftar keahlian Starbucks Rewards melalui aplikasi Grab dan menebus minuman percuma, jamuan hari jadi dan tawaran eksklusif .
Syarikat itu akan memperkenalkan ciri baharu ini di Filipina pada separuh kedua 2022, dengan rancangan untuk berkembang ke pasaran Asia Tenggara tambahan menjelang 2024. - DagangNews.com