STeP jadi peneraju pada pembangunan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana Perak | DagangNews Skip to main content

STeP jadi peneraju pada pembangunan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana Perak

STeP memainkan peranan penting dalam membangunkan usahawan PMKS di Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 3 Okt - Sejak penubuhannya tiga tahun lalu, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) telah memainkan peranan penting dalam membangunkan usahawan di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

 

Inisiatif STeP lebih ketara apabila lebih ramai usahawan meliputi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pelbagai kategori dan industri perlu dibantu selepas pandemik COVID-19 lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, ramai dalam kalangan usahawan PMKS terkesan sepanjang tempoh pemulihan.

 

Menurut beliau, dengan jumlah lebih 150,000 usahawan mikro yang perlu diupayakan semula, maka atas faktor itu kewujudan STeP telah membantu kelompok ini bangkit semula.

 

Salbiah
Salbiah (dua dari kanan) mendengar penerangan semasa melawat salah sebuah perusahaan di daerah Hilir Perak.

 

"Selain itu, kerajaan negeri melihat pentingnya untuk kita menyelaraskan agensi-agensi yang berkaitan dengan pembangunan usahawan di negeri Perak di bawah satu bumbung.

 

"Maka, kewujudan STeP ini dapat memastikan penyelarasan bantuan, bimbingan yang disediakan kepada usahawan dilakukan dengan lebih teratur," katanya.

 

Tambah beliau, fungsi STeP perlu diupayakan agar dapat bergerak memainkan tanggungjawabnya sepertimana dirancang.

 

 

Agensi
Sokongan pelbagai agensi turut membantu kejayaan penganjuran program keusahawanan kelolaan STeP.

 

Usahawan
Ramai usahawan kecil menerima menerusi bimbingan STeP.

 

 

Penubuhan STeP merupakan ilham Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad pada 2020 semasa beliau menjadi Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak ketika itu.

 

Sepanjang tempoh itu hampir 400 program keusahawanan meliputi pelbagai bidang telah dilaksanakan STeP membabitkan penyertaan lebih 100,000 usahawan PMKS.

 

 

Step

 

 

Sementara itu, Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, agensi itu tidak akan berjaya tanpa sokongan pelbagai jabatan dan agensi lain khususnya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.

 

Katanya, begitu juga Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang telah meminjamkan 16 pegawai dan kakitangan kepada STeP.

 

"STeP sentiasa dilibatkan dalam pelbagai program anjuran kerajaan negeri dan agensi di Perak hampir setiap hari, malah kini ia menjadi pusat rujukan dan tumpuan utama usahawan," ujarnya. - DagangNews.com