Steven Sim turun ke lapangan bertemu CUEPACS, bincang isu berkaitan pekerja | DagangNews Skip to main content

Steven Sim turun ke lapangan bertemu CUEPACS, bincang isu berkaitan pekerja

Datuk Dr Adnan Mat (tiga dari kiri) menerima kunjungan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Wisma CUEPACS, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Menteri Sumber Manusia, Steve Sim Chee Keong mengambil tindakan proaktif dengan turun sendiri ke lapangan bagi bertemu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). 

 

Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menerima kunjungan itu kerana ia mencerminkan keprihatinan seorang menteri untuk mengenali dengan lebih dekat kongres itu dan membincangkan isu-isu berkaitan pekerja. 

 

Beliau berkata, kunjungan itu mencerminkan prinsip dan kesungguhannya untuk berdiri bersama warga pekerja seperti yang disebutkan semasa sidang media pertama selepas diberi tanggungjawab itu.

 

"Kesungguhan dan sikap merendah beliau untuk turun ke lapangan bertemu dengan kesatuan pekerja memberikan CUEPACS harapan besar dalam melihat lebih banyak penambahbaikkan dasar untuk golongan pekerja di negara ini. 

 

"CUEPACS akan terus memberi sokongan dan dokongan beliau terutama melibatkan tiga teras utama iaitu memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan (produktiviti) pekerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam pada itu, Adnan menyeru semua penjawat awam agar segera mendaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai usaha menyahut inisiatif daripada kerajaan. 

 

Katanya, penjawat awam perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memastikan kejayaan program PADU. 

 

Beliau berkata, pengumpulan data-data penjawat awam ini amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan penjawat awam yang akan menjadi sebagai satu justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan oleh pihaknya.  - DagangNews.com