Stok minyak sawit Malaysia akhir Julai cecah paras terendah 4 bulan | DagangNews Skip to main content

Stok minyak sawit Malaysia akhir Julai cecah paras terendah 4 bulan

 

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Stok minyak sawit mentah Malaysia pada akhir Julai mencecah paras 4 bulan terendah berikutan penurunan dari segi pengeluaran dan import. 

 

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan paras inventori susut 7.3% mulai Jun kepada 1.5 juta tan metrik, penurunan pertama dalam tempoh 5 bulan. 

 

Bagaimanapun, kaji selidik yang dijalankan Reuters mengunjurkan inventori akan meningkat 1.6% kepada 1.64 juta tan metrik. 

 

"Pengeluaran juga menyusut 5.17% mulai Jun kepada 1.52 juta tan metrik, terendah sejak April disebabkan masalah kekurangan tenaga buruh menjejaskan kerja-kerja menuai buah ketika musim pengeluaran puncak. 

 

"Eksport pula mencatat penurunan 0.75% kepada 1.41 juta tan metrik, lebih baik berbanding anggaran penghantaran kargo pada Julai yang menyusut antara 5 hingga 8%.

 

"Pada masa sama, import minyak sawit mentah merosot 52% kepada 54,381 tan metrik," katanya seperti dilapor Reuters.  

 

Paras inventori yang ketat ini dijangka terus menyokong penanda aras minyak sawit Malaysia yang ketika ini diniagakan mencecah paras tertinggi pada Mei. 

 

Ia melonjak 6.2% kepada RM4,455 satu tan metrik pada Rabu tengah hari ini. 

 

Ketua Penyelidik Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, laporan tersebut dilihat positif kepada pasaran minyak sawit Malaysia memandangkan pengeluaran dijangka terus berdepan masalah. - DagangNews.com