Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Stok minyak sawit Malaysia dijangka jatuh ke paras terendah pada November bagi tempoh 16 tahun, menurut kaji selidik CGS-CIMB Futures.
Menurut penganalisisnya, Ivy Ng, inventori diunjur susut 2% bulan ke bulan dan 32% tahun ke tahun kepada 1.54 juta tan metrik pada akhir November, jauh berbeza berbeza berbanding trend sebelum ini.
Dalam tempoh lebih 10 tahun lalu, stok minyak sawit meningkat dengan purata 3.5% bulan ke bulan pada November dan turut merekodkan purata sebanyak 2.3 juta tan metrik.
"Menerusi kaji selidik terhadap minyak sawit yang kami jalankan, didapati pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka jatuh 10.4% bulan ke bulan kepada 1.55 juta tan metrik pada November 2020.
"Paras ini adalah lebih rendah berbanding penurunan 3.5% bulan ke bulan bagi pengeluaran November dalam tempoh 10 tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Data rasmi akan dikeluarkan pada 10 Disember ini.
Jelas firma itu, ladang kelapa sawit di Sabah merekodkan penurunan pengeluaran tertinggi manakala Sarawak pula yang terendah.
"Bagaimanapun, pengeluaran yang rendah berbanding 10 tahun lalu dengan purata 1.73 juta tan metrik mungkin disebabkan isu kekurangan buruh asing, faktor musim dan juga beberapa gangguan ketika penuaian yang akibat hujan lebat La Nina," katanya.
Dari segi eksport pula, Ivy berkata, ia dijangka jatuh 17% pada November kepada 1.38 juta tan metrik, lebih rendah berbanding purata eksport November 10 tahun lalu sebanyak 1.49 juta tan metrik.
Ini berdasarkan purata statistik eksport yang dikeluarkan Intertek Testing Services (ITS) (-16.6% bulan ke bulan), SGS (-18.9%), dan Amspec Malaysia (-16.5%), apabila harga MSM yang tinggi mungkin menyebabkan permintaan dicatu.
"Kami berpendapat, ekport yang lemah ini sebahagiannya berpunca kenaikan harga MSM yang menyebabkan permintaan dicatu pengguna.
"Dalam masa sama, peniaga pula menghentikan pembelian ekoran jangkaan pengurangan duti import MSM sebanyak 10% oleh kerajaan India," katanya.
Pada 27 November lalu, India telah mengurangkan duti import sebanyak 10% kepada 27.5%.
Mengenai harga MSM pula, ia meningkat secara purata pada 15% bulan ke bulan dan 37% tahun ke tahun kepada RM3,436 per tan metrik pada November.
Ini berikutan kebimbangan terhadap tahap inventori yang rendah di Malaysia dan Indonesia di samping kekangan bekalan minyak boleh dimakan yang lain.
"Kami mengunjurkan harga MSM akan diniagakan antara RM2,800 hingga RM3,400 per tan metrik pada Disember ini dengan jangkaan paras inventori di Malaysia akan mengambil masa tertentu untuk meningkat.
"Selain itu, eksport juga meningkat memandangkan peniaga mengambil peluang atas duit import India yang rendah dan sifar cukai eksport di Malaysia," katanya. - DagangNews.com