Stok MSM susut kepada 1.56 juta tan akhir November - MPOB | DagangNews Skip to main content

Stok MSM susut kepada 1.56 juta tan akhir November - MPOB

 

 


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia pada akhir November jatuh ke paras terendah lebih 3 tahun susulan pengeluaran dan eksportnya turut mencatat penurunan. 

 

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia, inventori bagi pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia itu jatuh 0.58% daripada bulan sebelumnya kepada 1.56 juta tan metrik, terendah sejak Jun 2017, lapor Reuters. 

 

Pengeluaran minyak sawit menyusut 13.51% kepada 1.49 juta tan metrik berbanding Oktober, mencecah paras terendah sejak Mac. 

 

Import pada November pula berkembang 148.2% kepada 112,663 tan merik. 

 

Pengasas Bersama Palm Oil Analytics di Singapura, Sathia Varqa berkata, import dijangka meningkat berikutan aliran keluar mendadak MSM disebabkan pengecualian cukai dan pengeluaran semakin berkurangan. 

 

Bagaimanapun, penurunan dalam eksport adalah lebih daripada jangkaan apabila jatuh 22.16% kepada paras 7 bulan terendah iaitu 1.3 juta tan metrik, selepas mencatat peningkatan 2 bulan lalu. 

 

Data MPOB menunjukkan jumlah minyak sawit yang dieksport ke China dan Kesatuan Eropah (EU) tidak cukup untuk mengimbangi penurunan sehingga 50% penghantaran kepada pembeli terbesar, India. 

 

Ketua Penyelidik Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, melainkan ekport pada Disember semakin meningkat, harga dijangka terus kekal berada dalam tekanan. 

 

Menurut kaji selidik kargo, eksport bagi tempoh 1 hingga 10 Disember, jatuh 6%. - DagangNews.com