Straits Energy terima kontrak bernilai RM40.7 juta bagi naik taraf jabatan perubatan kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz | DagangNews Skip to main content

Straits Energy terima kontrak bernilai RM40.7 juta bagi naik taraf jabatan perubatan kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Straits Energy Resources Berhad menerusi Straits CommNet Solutions Sdn. Bhd. menerima kontrak bernilai RM40.7 juta daripada Puncabahan Sdn. Bhd. bagi pembinaan ruang tambahan serta menaik taraf jabatan perubatan kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja projek itu meliputi pembinaan, naik taraf ruang tambahan bagi jabatan perubatan kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, PPUKM selain menjalankan kerja-kerja elektrik, kerja-kerja ICT dan penyediaan sistem binaan pintar untuk hospital tersebut.

 

"Projek berkenaan adalah bagi tempoh 140 minggu bermula 8 Januari 2024 dan dijangka siap pada 23 September 2026," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, penerimaan kontrak itu adalah selaras dengan strategi untuk meluaskan rangkaian perniagaan dan meningkatkan aliran pendapatan.

 

Katanya, ia juga membolehkan lebih banyak kerjasama strategik dijalankan dengan rakan kongsi mereka.

 

Straits Energy berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan sepanjang tempoh kontrak.

 

Ia bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat. - DagangNews.com