Strategi 'Astro baharu' berisiko kepada kumpulan | DagangNews Skip to main content

Strategi 'Astro baharu' berisiko kepada kumpulan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Penurunan dalam pendapatan langganan dan pendapatan iklan disebabkan pandemik COVID-19 merupakan antara faktor yang menjejaskan pendapatan Astro Malaysia Holdings Bhd. bagi tahun kewangan 2021.

 

Bagi tempoh itu, pendapatan Astro menyusut kepada RM4.36 bilion berbanding RM4.91 bilion tahun sebelumnya.

 

Untung bersih juga merosot kepada RM539.85 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2021 daripada RM655.3 juta pada tahun kewangan 2020.

 

Menurut CGS-CIMB, walaupun penurunan hasil langganan menimbulkan persoalan sejauh mana aliran tunai Astro tetapi kumpulan masih kekal optimis terutama dengan strategi konvergens digital 'Astro baharu' akan menarik semula pelanggan. 

 

"Namun, kami menjangkakan pendapatan daripada langganan Astro akan kekal kukuh memandangkan kumpulan bersedia untuk memberi nafas baharu kepada perkhidmatan dan kandungan. 

 

"Dalam masa sama, kecenderungan pelanggan untuk membeli iklan bagi slot di televisyen juga akan meningkat seiring pemulihan ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022-2023 antara 17 hingga 32% selepas kumpulan merekodkan prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan 2021. 

 

"Tetapi, risiko terbesar Astro masih terletak dalam penumpuan strategi 'Astro baharu' yang mana ia tidak sejajar dengan perubahan corak penonton dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya. 

 

Astro sebelum ini memaklumkan, Zack Snyder’s Justice League menggalakkan langganan baharu bagi HBO GO dan Astro Go ketika filem yang ditunggu-tunggu itu membuat tayangan perdana pada 19 Mac lalu.  

 

Malah, kumpulan juga berharap pemilik perkhidmatan penstriman akan bekerjasama dengan mereka bersedia untuk mengumumkan pelancaran perkhimatan sempena Hari Raya 13 hingga 14 Mei ini. 

 

Walaupun terdapat sekatan pada Januari 2021, perbelanjaan iklan Astro (Adex) pulih, memperkukuhkan Adex bagi tahun kewangan 2021 berjumlah RM428 juta, sementara bahagian penonton televisyen stabil pada 73%.

 

Perbelanjaan bagi radio, televisyen dan bahagian digital Adex masing-masing berjumlah 76%, 41% dan 3.0%. - DagangNews.com