Strategi ekonomi Malaysia tarik keyakinan pelabur tetapi perlu pelaksanaan pantas, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Strategi ekonomi Malaysia tarik keyakinan pelabur tetapi perlu pelaksanaan pantas, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Strategi ekonomi Malaysia semakin mendapat kepercayaan pelabur namun ada sebahagian daripada mereka menyuarakan kekecewaan terhadap pelaksanaan projek yang perlahan dan kelulusan kritikal daripada Parlimen dan Kabinet, kata CGS-CIMB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat penerimaan ramai terhadap mesej kerajaan mengenai rancangan dan strategi jangka sederhananya adalah lebih jelas.

 

“Sebahagian pelabur berminat melihat potensi di mana subsidi boleh dikurangkan dan jika reformasi besar diperlukan bagi mencapai sasaran defisit 3.5% kerajaan menjelang 2025. 

 

"Kami menunjukkan bahawa sudah ada penjimatan daripada normalisasi harga komoditi global, manakala subsidi yang disasarkan dalam bidang seperti elektrik, diesel dan RON95 adalah mencukupi bagi menyatukan imbangan fiskal.

 

"Kami juga menekankan bahawa GST (cukai barangan dan perkhidmatan) boleh diperkenalkan secara berperingkat kerana peningkatan hasil tambahan tidak diperlukan untuk mencapai sasaran 3.5%,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengesan sedikit kekecewaan dalam kalangan pelabur kerana dilihat seperti tiada keperluan mendesak bagi memulakan projek pemangkin untuk mencapai agenda 'Ekonomi Madani' Perdana Menteri.

 

CGS-CIMB juga menekankan kepentingan melaksanakan projek kritikal, terutamanya kelulusan pertukaran tenaga dan pelancaran pelbagai projek pembangunan, bagi mencapai pertumbuhan ekonomi dan matlamat kerajaan.

 

“Kami percaya adalah penting anugerah projek diadakan antara November 2023 dan Mac 2024, bagi meningkatkan keyakinan yang lebih besar bahawa kerajaan serius untuk membawa ekonomi ke peringkat seterusnya,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor yang dipacu ekonomi domestik, termasuk utiliti dan telekomunikasi, telah memperoleh minat yang positif. 

 

"Pelabur menerima bahawa perubahan ketara kepada pilihan sektor utama, Telekom Malaysia Berhad, telah dialih keluar dengan pengenalan harga jalur lebar baharu yang mungkin tidak menjejaskan purata hasil seunit (ARPU) seperti sebelum ini," katanya. - DagangNews.com