`Stress' boleh menjadi pendorong kejayaan individu (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

`Stress' boleh menjadi pendorong kejayaan individu (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

BULAN Ogos sudah tiba, Jalur Gemilang sudah mula kelihatan berkibaran dengan megah di perkarangan rumah rakyat jelata yang berkobar-kobar dengan semangat patriotik.

 

Dalam pada kita menikmati bulan kemerdekaan ini, marilah kita mengimbau zaman penjajahan yang penuh dengan 1,001 kisah pengorbanan, pertumpahan darah perwira, peluh pemimpin dan perjuangan rakyat demi keselamatan negara tercinta.

 

Cuba kita bayangkan tekanan yang menimpa majoriti rakyat Malaysia saat peperangan dan zaman penjajahan. Malah, tanpa disedari tekanan yang dirasai ketika mengharungi pandemik ini sebenarnya tidak jauh perbezaannya.

 

Cuma bezanya ialah satu musuh boleh dilihat dan satu lagi sukar dilihat dengan penglihatan mata zahir. Walaubagaimanapun, tekanan yang menghimpit kehidupan memang jelas dan nyata dirasai oleh setiap insan di segenap pelosok negara.

 

Pelbagai pihak sememangnya terkesan akibat kegiatan ekonomi yang terbantut dan terpaksa akur dengan keadaan negara yang darurat. Bukan itu sahaja, ada yang dibuang kerja, duit simpanan semakin menyusut, ramai tidak boleh keluar bekerja. Sedih membayangkan pekerja harian yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

 

Tekanan demi tekanan dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan jika mahu dikupas satu per satu, pasti tidak cukup tinta sekalipun ia diambil dari lautan yang luas.

 

Arghhh…stress, stress… Acap kali keluar dari mulut individu yang merasa terhimpit dalam tekanan keadaan sekeliling apatah lagi di saat pandemik sedang melanda.

 

Dalam keadaan tertekan maka muncullah bermacam-macam gambaran yang bermain dalam benak fikiran mereka, semuanya bercampur aduk samada dari sudut yang positif mahupun negatif.

 

Pokok pangkalnya ialah cara kita menguruskan tekanan. Itu sebenarnya kunci segala-galanya. Dalam kehidupan yang penuh cabaran ini, tekanan amat diperlukan untuk kita bertindak di luar kotak pemikiran seterusnya memberi laluan agar kita tidak sentiasa duduk di dalam zon yang selesa sepanjang masa.

 

Dalam konteks ini, tekanan bukan tiket untuk kita sewenang-wenangnya menekan orang lain yang sama-sama bergelut untuk meneruskan kehidupan yang juga serba-serbi kekurangan. Jangan pernah cuba mengambil kesempatan terhadap orang lain dalam keadaan kesempitan hidup mereka.

 

 

stress

 

 

Bertitik tolak daripada itu, tekanan dalam kehidupan sebenarnya pemangkin yang mendorong kita untuk lebih berdaya saing dan berusaha untuk keluar dari kepompong masalah atau saat sukar yang sedang dilalui.

 

Rentetan itu, tekanan seharusnya diuruskan dengan pelbagai cara tamsilnya melalui pendedahan yang semakin banyak dikongsi di pelbagai platform media sosial mahupun bahan bacaan ilmiah yang boleh diperoleh secara atas talian.

 

Tekanan perlu diambil dari sudut positif seiring dengan usaha dan tawakal. Jika tekanan berjaya dikawal, maka seseorang individu pasti akan merasai kemanisan yang diperolehi berkat usaha gigih dan cekal demi kelangsungan kehidupan mereka.

 

Tekanan secara bertubi-tubi sewajarnya diatasi dengan ketabahan dan sikap tidak mahu mengalah. Sudah pasti juga, keadaan akan menjadi jauh lebih baik jika disertai dorongan dan bantuan rakan-rakan seperjuangan selain doa dan tawakal pada yang Esa tanpa mengira masalah yang sedang melanda.

 

Sebagai hambaNya, kita sewajarnya memilih untuk menjadikan tekanan hidup ini sebagai titik tolak perubahan untuk menjadi diri kita yang lebih baik kerana kejayaan apa pun tidak akan datang secara bergolek tanpa usaha yang gigih.

 

Secara imbas lalu, sudah banyak kisah individu yang dipaparkan di media yang mana pada suatu ketika sebelum pandemik, kehidupan mereka mewah, namun asbab pandemik kehidupan mereka bertukar 180 darjah. Kisah-kisah begini wajar menjadi teladan dalam kehidupan kita.

 

 

stress

 

 

Salah satu kisah yang sering disebut di kaca televisyen, akhbar dan media sosial ialah seorang yang berkerjaya profesional sebagai juruterbang menjadi tukang masak di gerai makan tepi jalan. Inilah dikatakan mengatasi tekanan dengan menukar kesukaran kepada peluang kejayaan.

 

Hal ini membuktikan bahawa tekanan yang dirasai oleh juruterbang ini membuka peluang untuk beliau meneroka sudut dan kemahiran yang mungkin selama ini tidak beliau terfikir untuk melakukannya demi menjana pendapatan untuk keperluan keluarga.

 

Ambil juga iktibar kisah seorang pemungut sampah yang hidup dalam kemiskinan. Tekanan serta kemiskinan itulah yang membuatkan beliau tekad untuk keluar dari kepompong hidup melarat. Nah, sekarang beliau sudah bergelar jutawan berkat usaha gigih dan tidak pernah putus asa untuk merubah kehidupan menjadi lebih baik.

 

Sudah terang lagi bersuluh, tekanan dalam kehidupan jelas memacu kejayaan untuk seseorang berubah dan keluar dari keadaan yang menghimpit.

 

Soalnya ialah adakah kita semua sedar bahawa tekanan itu bukanlah aura negatif semata-mata? Yang sebetulnya, kita harus menilai tekanan dengan peluang yang menanti. Jadikan tekanan titik tolak asas kejayaan di masa hadapan.

 

Barang siapa bersabar dengan ujian yang dialami, maka dia akan mendapatkan kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

 

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Berfikirlah positif, tidak peduli seberapa sukar kehidupanmu. Suka dengan kata-kata orang alim dan terkenal, ‘’kita tenang-tenang sahaja sudah’’. Hidup perlu diteruskan. - DagangNews.com

 

 

Nurul Zamratul Asyikin binti Ahmad dan Roszi Naszariah Nasni binti Naseri
Pensyarah Kanan,
UiTM Melaka,
Kampus Alor Gajah