KUALA LUMPUR 19 Ogos - MIDF Research mengunjurkan subsektor petrokimia kekal stabil didorong peningkatan harga minyak mentah Brent dan permintaan lebih tinggi untuk produk tertentu.
Katanya, indeks pembuatan global dijangka meningkat dalam pada separuh kedua 2024 (Asia: +2.1%, Eropah: +15.7%, Amerika Syarikat (AS): +6.8%), berikutan aliran menaik yang positif dalam separuh pertama tahun ini yang dicerminkan oleh peningkatan pesanan baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, olefin & derivatif (O&D) dijangka menyaksikan harga stabil apabila aktiviti penyimpanan semula di China bermula di tengah-tengah kekurangan bahan mentah dan musim taufan di AS.
"Sementara itu, harga baja & metanol (F&M) akan disokong oleh permintaan yang lebih tinggi dari Asia Tenggara, India dan Amerika Latin di tengah-tengah musim penanaman, kecuali metanol yang kekal dalam lebihan bekalan.
"Bagi produk khusus, pemulihan sederhana dijangka berterusan pada separuh kedua 2024, berikutan pertumbuhan ekonomi AS yang lebih baik disederhanakan oleh jangkaan pertumbuhan lebih perlahan dalam aktiviti perindustrian dan permintaan pengguna di China dan Eropah," katanya dalam saru nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung selepas cukai Petronas Chemicals naik kepada RM809 juta bagi 2QFY24
Firma penyelidikan itu berkata, Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dijangka mengekalkan kecemerlangan operasi kilangnya pada baki tahun ini.
Katanya, bagaimanapun, penggunaan kemudahan pengeluarannya sangat bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan, kos utiliti dan ketersediaan bahan mentah.
Harga produk untuk O&D dijangka kekal lembut di tengah-tengah permintaan yang semakin lemah dan bekalan semula daripada pemulihan serantau.
"Sementara itu, F&M dijangka kekal stabil seiring dengan peningkatan dalam permintaan baja sektor pertanian dalam keadaan cuaca yang menggalakkan untuk musim penanaman yang berterusan.
"Walaupun kami melihat pasaran produk sedang pulih, kami masih berhati-hati terhadap kesan daripada ketegangan geopolitik yang berpanjangan dan permintaan yang lebih perlahan daripada pengguna akhir di Eropah dan China
MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.54 sesaham. - DagangNews.com