Subsidi bahan api bersasar dan kenaikan SST, MIDF Research unjur sektor automotif berdepan risiko penyusutan permintaan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Subsidi bahan api bersasar dan kenaikan SST, MIDF Research unjur sektor automotif berdepan risiko penyusutan permintaan pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pelaksanaan pemberian subsidi bahan api bersasar serta kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada tahun hadapan dijangka memberi risiko penyusutan terhadap permintaan dalam sektor automotif.

 

MIDF Research berkata, pesanan tertunggak mula mendatar dengan tanda-tanda penyusutan, sebagai contoh, pesanan tertunggak Perodua berada pada kurang daripada 200,000 unit pada awal tahun tetapi sejak itu telah menyusut kepada 155,000 unit pada Ogos 2023 dan 140,000 pada bulan lalu.

 

Tinjauan sentimen pengguna daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada suku kedua tahun ini menunjukkan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) menguncup 8.4 mata dari suku tahun ke suku tahun kepada 90.8. 

 

"Keadaan itu mencerminkan pandangan kami yang lebih sederhana terhadap sektor itu pada 2024. 

 

"Kami mengunjurkan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi tahun hadapan menguncup 8.4% kepada 688,000 unit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu yakin bahawa kerajaan akan terus fokus kepada elektrifikasi sektor berkenaan khususnya melibatkan pengangkutan darat selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon serta 10,000 titik pengecasan menjelang 2025.

 

Sementara itu, pengeluar kereta nasional difahamkan sedang berusaha memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) nasional dalam tempoh 2025-2027 walaupun kos masih menjadi cabaran.

 

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa penarikan semula subsidi bahan api boleh mendorong penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) yang lebih agresif dalam titik harga yang lebih tinggi dalam jangka terdekat," katanya.

 

MIDF Research percaya bahawa pesanan tertunggak semasa yang kukuh semasa dan jangkaan pendapatan sebahagian besarnya dimainkan dalam kalangan saham terpilih di bawah liputan mereka. 

 

Katanya, meskipun TIV dijangka memuncak pada akhir tahun ini tetapi mereka mengekalkan saranan neutral terhadap sektor itu.

 

"Pilihan utama kami bagi sektor itu adalah Bermaz Auto (beli, TP: RM3.36) dan MBM Resources (beli, TP: RM4.75)," katanya. - DagangNews.com