Subsidi bersasar adalah tepat dan perlu dilaksanakan - BNM | DagangNews Skip to main content

Subsidi bersasar adalah tepat dan perlu dilaksanakan - BNM

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Keputusan kerajaan memansuhkan sistem subsidi menyeluruh secara berperingkat bagi memperkenalkan subsidi bersasar adalah langkah tepat dan perlu dilaksanakan.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, pelaksanaan subsidi bersasar juga dapat membantu kerajaan menangani ketirisan selain memastikan ia disampaikan kepada kumpulan sasaran yang ingin dibantu.

 

"Namun, sebarang pelarasan kepada subsidi juga harus mengambil kira bahawa terdapat risiko harga tinggi sebagai sebahagian daripada barangan dan perkhidmatan," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Kerajaan ketika ini sedang membangunkan Pangkalan Data Utama (PADU) yang bakal memudahkan penyaluran subsidi bersasar mengikut kumpulan pendapatan.

 

PADU akan menyepadukan seluruh pangkalan data kerajaan secara berpusat, mengandungi profil maklumat individu dan isi rumah rakyat Malaysia.

 

Di samping itu, PADU turut merangkumi pemboleh ubah seperti demografi, pendapatan pekerjaan, status, lokasi dan negeri dan rekod-rekod lain yang berkaitan sebagai rujukan sahih bagi pelaksanaan subsidi bersasar.

 

Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa PADU akan mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

 

Jelas Perdana Menteri, PADU akan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

PADU akan diguna pakai bermula tahun depan.- DagangNews.com