Subsidi bersasar dilaksana dan tiada pengecualian SST, AmInvestment unjur jualan kenderaan lemah tahun ini | DagangNews Skip to main content

Subsidi bersasar dilaksana dan tiada pengecualian SST, AmInvestment unjur jualan kenderaan lemah tahun ini

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Prospek jualan kenderaan lebih lemah tahun ini memandangkan tiada lagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan pelaksanaan subsidi bersasar, yang berpotensi mempercepatkan inflasi sambil memberi kesan negatif kepada pendapatan boleh guna pengguna dan penggunaan swasta.

 

Oleh itu, AmInvestment Bank Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif berikutan prospek jualan kereta yang lebih lemah dengan unjuran 670,000 unit, merosot 6% tahun ke tahun (YoY) pada 2024.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah bahawa sentimen positif untuk tahun ini mungkin lebih lemah akibat kekurangan pelancaran model baharu berbanding 2023.

 

“Kami menjangkakan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada tahun ini tidak akan setara dengan tahap yang dicatatkan tahun lepas.

 

“Walaupun trajektori dijangka lebih rendah, sektor ini akan disokong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan disokong tanda pemulihan kerana kadar pengangguran terkini kekal pada paras terendah selepas pandemik, iaitu 3.4% pada Oktober 2023,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvestment, jualan kenderaan pada 2023 memecah rekod sebanyak 799,731 unit pada 2023 kerana persekitaran rantaian bekalan yang lebih baik, pelbagai pelancaran baharu dan tempahan kenderaan bebas cukai.

 

Sementara itu, bagi pasaran kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid, firma itu menjangkakan jualan pada 2024 meningkat dengan kadar penembusan yang lebih tinggi sedikit sebanyak 1.7% untuk BEV dan 4% bagi hibrid.

 

Ini adalah susulan jualan BEV pada 2023 meningkat hampir empat kali ganda tahun ke tahun kepada 10,159 unit pada 2023 berbanding 2,631 unit dalam 2022, mewakili 1.3% penembusan TIV, manakala jualan hibrid meningkat 40% YoY kepada 28,055 unit mewakili 3.5% penembusan TIV.

 

“Pembangunan pasaran kenderaan elektrik (EV) akan disokong oleh dasar Malaysia yang menggalakkan dan langkah untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

 

“Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa infrastruktur pengecasan awam yang rendah masih menjadi cabaran untuk peningkatan ketara dalam penggunaan EV.

 

“Sehingga Januari 2024, terdapat hanya 1,400 stesen pengecasan tersedia di seluruh negara, yang ketinggalan daripada sasaran 10,000 menjelang 2025,” tambahnya.

 

Pilihan utama AmInvestment bagi sektor ini adalah Bermaz Auto Berhad, dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM3.29, memandangkan syarikat itu mempunyai pelancaran model baharu dan pengembangan pemasangan tempatan (CKD) dengan hasil dividen yang baik pada 7%.

 

Pada pukul 10:25 pagi ini, saham Bermaz Auto menokok 3 sen atau 1.3% kepada RM2.40 dengan permodalan pasaran bernilai RM2.8 bilion. - DagangNews.com