Subsidiari AWC peroleh subkontrak RM19.9 juta bagi kerja pembinaan pusat data daripada Gamuda | DagangNews Skip to main content

Subsidiari AWC peroleh subkontrak RM19.9 juta bagi kerja pembinaan pusat data daripada Gamuda

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Sept - AWC Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Qudotech Sdn Bhd menerima subkontrak bernilai RM19.9 juta untuk kerja-kerja pembinaan dan penyelesaian berkaitan air dan pembentungan bagi projek pembinaan sebuah pusat data di Rawang.  

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, AWC berkata, Qudotech menerima surat anugerah daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd untuk kerja-kerja tersebut pada 3 September 2024.

 

Katanya, subkontrak berkenaan melibatkan pembinaan dan penyelesaian perkhidmatan air sejuk, pengumpulan air hujan, pengagihan air, pencegahan kebakaran, air kotor dan perkhidmatan pembetungan bagi projek pusat data di Mukim Rawang, Selangor.

 

"Kerja-kerja subkontrak akan bermula pada 2 September 2024 dan dijangka siap pada 18 November 2025. Jumlah kontrak keseluruhan untuk kerja-kerja subkontrak adalah pada harga tetap secara lumpsum sebanyak RM19.9 juta," katanya hari ini.

 

Menurut AWC, subkontrak ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan AWC sepanjang tempoh kerja berlangsung.

 

Katanya, kerja-kerja subkontrak adalah dalam urusan perniagaan biasa Qudotech dengan risiko-risiko yang berpotensi terlibat dianggap sebagai risiko operasi biasa dan adalah sama dengan mana-mana kerja lain yang seumpamanya.

 

"Tiada Pengarah, pemegang saham utama AWC dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada langsung atau tidak langsung, dalam subkontrak ini," ujarnya. - DagangNews.com