Subsidiari Straits Energy lengkapkan penghantaran bahan api bio diperakui ISCC EU pertama oleh pembekal Malaysia | DagangNews Skip to main content

Subsidiari Straits Energy lengkapkan penghantaran bahan api bio diperakui ISCC EU pertama oleh pembekal Malaysia

Tumpuan Megah, anak syarikat Straits Energy bekalkan 4,500 tan metrik bahan api bio marin B24 yang diperakui ISCC EU kepada sebuah kapal kontena di PTP, Johor 25 April lalu .
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 April - Straits Energy Resources Berhad menerusi anak syarikatnya berjaya membekalkan bahan api bio marin yang mendapat perakuan Pensijilan Kemampanan Antarabangsa dan Pensijilan Karbon (ISCC EU) kepada sebuah kapal kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), 25 April lalu.

 

Menurut Straits Energy, kejayaan anak syarikatnya, Tumpuan Megah Development Sdn Bhd itu dipercayai sebagai penghantaran bahan api bio marin yang diperakui ISCC EU pertama oleh pembekal Malaysia.

 

Tumpuan Megah membekalkan kira-kira 4,500 tan metrik bahan api bio marin B24 yang diperakui ISCC EU kepada kapal kontena yang dikendalikan oleh salah satu daripada tiga kumpulan logistik berintegrasi terbesar di dunia. 

 

Pengarah Urusan Straits Energi, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata, kejayaan ini menunjukkan komitmen syarikat untuk menyokong peralihan industri kepada bahan api alternatif sekali gus dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

 

"Tumpuan Megah telah berjaya membekalkan bahan api bio marin yang diperakui ISCC EU kepada sebuah kapal kontena di PTP. 

 

ron
Pengarah Urusan Straits Energi, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy

 

"Kami percaya ini adalah penghantaran pertama bahan api bio marin ISCC EU oleh pembekal dari Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Kam Choy, bahan api bahan api bio marin berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara dan mengurangkan jejak karbon keseluruhan operasi maritim. 

 

Walaubagaimanapun katanya, pemain industri perkapalan juga mesti dapat membuktikan bahawa kandungan bio dalam bahan api mereka adalah mampan.

 

"Pensijilan ISCC EU menyediakan industri perkapalan dengan jaminan yang amat diperlukan apabila ia berkaitan dengan kemampanan bahan api mereka, kebolehkesanan sepanjang rantaian bekalan serta pengurangan pelepasan yang boleh diyakini dan disahkan.

 

"Sebagai pembekal dan peniaga biofuel maritim yang diperakui ISCC EU yang pertama di Malaysia dan salah satu pembekal terkemuka negara bagi bahan api bunker berkualiti, kami berkedudukan baik untuk memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri yang mampan," jelasnya.

 

staits
Tongkang Tumpuan Megah Development menghantar bahan api bio marin ke sebuah kapal kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. -Gambar Straits Energy

 

Tambah Kam Choy, memandangkan permintaan untuk bahan api bio marin meningkat pantas, perniagaan ini dijangkakan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatan masa depan Straits Energy.

 

"Tumpuan Megah terlibat terutamanya dalam perkhidmatan bunker kapal-ke-kapal serta operasi kapal tongkang pengangkut kargo. 

 

"Pada Januari 2024, Straits mengumumkan bahawa Tumpuan Megah telah menjadi peserta industri Malaysia pertama yang mencapai pensijilan ISCC EU sebagai pembekal dan peniaga biofuel, menerajui usaha industri untuk mengurangkan jejak karbon perkapalan. 

 

"Langkah itu juga menyediakan pentas untuk penerokaan Straits ke dalam industri perdagangan bahan api bio marin yang berkembang pesat dan industri bunkering," ujarnya.

 

Menurut Straits, dengan pensijilan ISCC EU, pemain industri maritim boleh menunjukkan pematuhan terhadap kemampanan dan kriteria penjimatan pelepasan gas rumah hijau (GHG) Kesatuan Eropah (EU). 

 

Ini termasuk Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU (RED II), yang telah menetapkan garis panduan ketat yang biofuel boleh dianggap mampan. 

 

Pensijilan ISCC diiktiraf dalam pasaran tenaga utama, termasuk Kesatuan Eropah, United Kingdom, Jepun dan Singapura. - DagangNews.com