Subsidiari T7 Global menang saman, dapat semula bayaran RM22.88 juta daripada VME Process | DagangNews Skip to main content

Subsidiari T7 Global menang saman, dapat semula bayaran RM22.88 juta daripada VME Process

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Julai - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan tuntutan anak syarikat T7 Global Berhad, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd (TOS) supaya VME Process Systems Malaysia Sdn. Bhd. dan VME Process Asia Pacific Pte. Ltd. memulangkan bayaran RM22.88 juta.

 

Ini susulan perjanjian penyelesaian bersama (JSA) bertarikh 23 September 2020 diisytiharkan tidak sah dan batal, kata T7 Global dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

T7 Global berkata, selain itu, mahkamah turut memutuskan kedua-dua defendan perlu membayar kos sebanyak RM150,000 kepada Tanjung Offshore. 

 

Katanya, defendan-defendan juga diarahkan membayar kepada Tanjung Offshore ganti rugi am yang akan dinilai oleh Mahkamah dan faedah pada kadar 5% setahun ke atas amaun yang terhutang kepada TOS dari tarikh penghakiman sehingga direalisasikan.

 

"Perjanjian perlindungan harta intelek bertarikh 23.9.2020 (IPPA) antara kedua-dua defendan dan plaintif juga diisytiharkan batal dan tidak sah," katanya.

 

Mahkamah Tinggi, juga kata T7 Global memerintahkan supaya tuntutan balas VME Process ke atas Tanjung Offshore yang ditarik balik dibenarkan tetapi tanpa kebebasan untuk memfailkan semula seperti dimahukan defendan.

 

Bagaimanapun, kata syarikat tenaga itu, VME Process telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

 

"Tanjung Offshore dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kedua-dua Rayuan 929 dan 1056 telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 21 Jun 2024 dengan kos RM10,000 yang perlu dibayar oleh VME Process kepada Tanjung Offshore," jelasnya.

 

VME Process telah memfailkan satu lagi rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung kepada perintah Mahkamah Tinggi bahawa perenggan tertentu dalam saksi VME adalah dipadamkan iaitu “Rayuan 1056”.

 

"Selain daripada jumlah yang dituntut oleh Tanjung Offshore dan kos perundangan yang sepadan, Writ Saman dan Penyata Tuntutan tidak dijangka mempunyai sebarang kesan kewangan material lain ke atas Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024," ujar T7 Global hari ini.

 

Tanjung Offshore Services pada 8 September 2021 telah memfailkan saman ke atas VME Process Systems Malaysia Sdn. Bhd. (Defendan 1) and VME Process Asia Pacific Pte. Ltd. (Defendan 2).

 

Anak syarikat T7 Global itu antara lain menuntut pengisytiharan JSA dengan VME diisytiharkan tidak sah batal seterusnya menuntut segala bayaran yang telah dibuat kepada defendan dipulangkan semula.

 

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia pada 10 September 2021, keadaan yang membawa kepada pemfailan kes oleh Plaintif adalah berdasarkan dakwaan Plaintif bahawa Defendan telah gagal memenuhi terma yang dinyatakan dalam JSA walaupun Plaintif telah memenuhi kewajipannya di bawah JSA.- DagangNews.com