Suhaimi Sulaiman sah dilantik sebagai Ketua Pengarah RTM | DagangNews Skip to main content

Suhaimi Sulaiman sah dilantik sebagai Ketua Pengarah RTM

Fahmi Fadzil menyampaikan watikah pelantikan kepada Suhaimi Sulaiman, disaksikan Dato Seri Mohammad Mentek di Putrajaya pada 19 Januari 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Jan – Kementerian Komunikasi dan Digital mengumumkan pelantikan Suhaimi Sulaiman menerajui Jabatan Penyiaran Malaysia yang baharu.

 

Ini mengesahkan laporan eksklusif DagangNews.com mengenai pelantikan Suhaimi pada 6 Januari lalu.

 

ARTIKEL DagangNews 6 JAN 2023: Suhaimi Sulaiman bakal diumum sebagai ketua pengarah RTM

 

skoop

 


Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki Suhaimi diharap dapat memacu kecemerlangan dan memberi suntikan baru kepada Jabatan Penyiaran Malaysia.

 

“Sekalung tahniah buat Suhaimi Sulaiman atas lantikan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia yang baharu.

 

“Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran, pernah bertugas di TV Sarawak, BERNAMA, Astro Awani dan Media Prima,” kata Fahmi. 


 

kahkah
Fahmi Fadzil menyatakan wawasannya mengenai RTM kepada Suhaimi Sulaiman yang mendengar dengan tekun.

 


Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah pelantikan jawatan itu kepada Suhaimi, disaksikan Ketua Setiausaha kementerian, Dato Seri Mohammad Mentek di pejabatnya hari ini.

 

Suhaimi, 61, menamatkan khidmat di TV Sarawak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Ogos 2022 dan sebelum itu, merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

 

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran pada tahun 1990 di saluran televisyen Malaysia, TV3 sebagai seorang wartawan dan penolong penerbit, dan mula menjadi penyampai berita TV3 pada tahun 1993, sehingga menjadi salah satu daripada nama-nama terkemuka di Malaysia dalam bidang penyiaran.

 

Pada tahun 2007, beliau menyertai satu usaha permulaan untuk melancarkan saluran berita 24 jam pertama Malaysia, Astro Awani sehingga Mac 2015, Suhaimi meninggalkan stesen tersebut untuk memberi tumpuan kepada bidang Perundingan & Latihan Media. - DagangNews.com