Sukuk Cagamas terlebih langgan daripada saiz permulaan RM500 juta meningkat kepada RM930 juta | DagangNews Skip to main content

Sukuk Cagamas terlebih langgan daripada saiz permulaan RM500 juta meningkat kepada RM930 juta

KUALA LUMPUR 31 Jan - Cagamas Berhad mengumumkan terbitan agregatnya sebanyak RM1.03 bilion merangkumi RM100 juta setahun untuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan terbitan IMTN selama tiga tahun bernilai RM930 juta.

 

Hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pembiayaan Islam daripada sistem kewangan domestik.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, terbitan terkini syarikat itu adalah didorong permintaan yang menggalakkan daripada pelabur dalam keadaan pasaran yang mencabar berikutan petunjuk kukuh mengenai pengurangan mudah tunai dan peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

 

Beliau berkata, penilaian IMTN dibuat menerusi langkah penetapan harga awam yang berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai asas pelabur yang terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans, pengurus aset dan badan berkanun

 

"Pemintaan terhadap nota terbitan itu sangat luar biasa, menyebabkan tranche tiga tahun terhad daripada panduan harga awal sebanyak 3.3% kepada 3.31%, dan meningkat daripada RM500 juta permulaan kepada saiz terbitan akhir sebanyak RM930 juta.

 

"IMTN itu mencatatkan tebaran sebanyak 42 mata asas (bps) terhadap Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia," katanya lapor Bernama.

 

Terbitan terkini itu menjadikan jumlah terbitan agregat syarikat itu bagi tahun itu sebanyak RM1.33 bilion dan kertas berkenaan akan ditebus pada nilai nominal penuhnya selepas tempoh matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, berada di kedudukan setara (pari passu) dalam kalangannya dan semua obligasi tidak bercagar sedia ada di bawah syarikat.

 

“Ia akan disenaraikan dan boleh didagangkan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip,” katanya. - DagangNews.com