Sumbang peranti terpakai untuk keluarga B40 - TM | DagangNews Skip to main content

Sumbang peranti terpakai untuk keluarga B40 - TM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Telekom Malaysia Berhad (TM) menyediakan tiga cawangan TMpointnya di kawasan Lembah Klang sebagai pusat pengumpulan sumbangan peranti yang terpakai. 

 

Cawangan-cawangan TMpoint yang terlibat adalah Pusat Pengalaman TM (TMEC) di Menara TM, Bangsar, TMpoint Cyberjaya dan TMpoint Shah Alam serta dijangka diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh terdekat.

 

Ini merupakan sokongan TM bagi inisiatif penyumberan (crowdsourcing), MYBAIKHATI yang digerakkan bersama oleh pemain-pemain industri, disasarkan untuk mengumpul dan membaiki peranti komunikasi terpakai bagi  diagihkan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah (B40). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM, Imri Mokhtar berkata, semua pihak seharusnya mempunyai akses kepada peranti-peranti digital, terutamanya dalam tempoh mencabar sebegini.

 

Imri Mokhtar
Imri Mokhtar

 

“ Kempen MYBAIKHATI ini bertujuan menyediakan komuniti B40 dengan peranti-peranti pintar yang masih elok untuk pembelajaran, bekerja dan perniagaan secara digital, supaya mereka mampu menempuh tempoh yang tidak dijangkakan ini. TM teruja menjadi sebahagian daripada inisiatif yang melibatkan seluruh industri ini kerana bersama-sama, kami dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan dan pada masa yang sama mengurangkan jurang digital. 

 

“Kami telah pun memulakan kempen sumbangan yang berlangsung selama setahun ini dengan menyediakan pusat-pusat pengumpulan bagi fasa awal ini di tiga cawangan TMpoint kami di Lembah Klang agar masyarakat yang ingin menyumbang boleh menghantar sumbangan peranti mereka dengan mudah. 

 

"Kami pastinya akan meninjau lebih banyak lagi lokasi yang sesuai di seluruh negara bagi mempermudahkan orang ramai mengambil bahagian dan menghantar sumbangan mereka,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

TM akan membaiki dan melengkapkan peranti-peranti yang disumbangkan dan memenuhi terma serta syarat dengan peruntukan sehingga RM500 bagi setiap peranti. 

 

Peranti yang telah dibaiki itu kemudiannya akan diagihkan kepada keluarga-keluarga dari segmen B40 yang layak, menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dilantik, atau menerusi pelbagai saluran lain termasuklah Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara. 

 

Sumbangan peranti yang tidak menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh inisiatif itu akan dikitar semula secara bertanggungjawab menerusi program e-Waste.

 

Tambah Imri, TM berharap rakyat Malaysia, sama ada secara individu atau perniagaan, tampil menyumbangkan peranti terpakai anda yang masih boleh digunakan termasuklah komputer riba, chromebook serta tablet atau telefon pintar berkeupayaan 4G. 

 

“Kempen ini akan berlangsung selama 12 bulan, jadi kami berharap anda mempunyai cukup masa untuk mengumpul barangan anda atau memilih untuk menyumbang peranti lama yang masih boleh dipakai apabila anda menaik taraf peranti terbaharu buat keluarga anda. 

 

“Selepas memberikan sumbangan menerusi TM, jangan lupa untuk mendapatkan cenderahati istimewa kami sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan anda,” katanya lagi.

 

Berikut merupakan langkah-langkah mudah bagi menyertai inisiatif berkenaan:

 

1. Pastikan peranti anda masih boleh digunakan dan lengkap dengan pengecasnya. Pastikan data dan maklumat peribadi anda telah dipadam sepenuhnya.

 

2. Bawa peranti anda ke cawangan TMpoint yang terpilih, temui anggota kami dan lengkapkan Borang Sumbangan Peranti serta Borang Pengesahan Sumbangan.

 

3. Letakkan peranti anda dalam kemudahan simpanan yang disediakan.

 

4. Dapatkan cenderahati penghargaan daripada TM atas sumbangan anda. - DagangNews.com