Sumbangan Asas Rahmah 2024 ditambah baik, RM700 juta diperuntuk kepada lebih 700,000 penerima - Kementerian Kewangan | DagangNews Skip to main content

Sumbangan Asas Rahmah 2024 ditambah baik, RM700 juta diperuntuk kepada lebih 700,000 penerima - Kementerian Kewangan

Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 19 Jan - Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperkenalkan kerajaan pada tahun lalu bakal ditambah baik yang akan menyaksikan jumlah penerima bertambah sehingga lebih 700,000 melibatkan peruntukan sebanyak RM700 juta.

 

Menurut Kementerian Kewangan, penambahbaikan ini yang akan bermula secara berperingkat bermula 22 Januari ini sebagai satu bentuk bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.

 

Katanya, penerima yang layak untuk SARA bukan lagi hanya terhad kepada miskin tegar seperti mana pada tahun lalu tetapi akan turut merangkumi golongan miskin dan miskin tegar.

 

"Penambahbaikan ini turut merangkumi peningkatan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023 manakala kadar untuk golongan bujang kekal RM600.

 

"Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan," kata Kementerian Kewangan.

 

Menerusi langkah penambahbaikan tersebut, program SARA tahun 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta. 

 

"Ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas," kata kenyataan itu.

 

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan itu berkata, SARA menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.

 

Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat, kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

 

"Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan itu. 

 

Di bawah program ini, penerima SARA boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar.

 

"Kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi Kerajaan.

 

"Pelaksanaan SARA akan bermula pada 22 Januari 2024 bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula 19 Februari 2024," kata Kementerian Kewangan.

 

Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

 

Penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara. - DagangNews.com