Sumbangan positif segmen perniagaan, RHB Investment unjur jumlah pinjaman berkembang antara 4.5% hingga 5% pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Sumbangan positif segmen perniagaan, RHB Investment unjur jumlah pinjaman berkembang antara 4.5% hingga 5% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - RHB Investment mengunjurkan jumlah pinjaman di negara ini berkembang pada paras antara 4.5% hingga 5% pada 2024 didorong sumbangan positif daripada segmen perniagaan kesan daripada kegiatan ekonomi yang lebih kukuh.

 

Katanya, pada November 2023, jumlah pinjaman terus mencatatkan pertumbuhan stabil manakala permohonan pinjaman daripada segmen perniagaan terus berada dalam keadaan baik.

 

Kualiti aset bertambah baik dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang lebih rendah sedikit dan liputan kerugian pinjaman (LLC) meningkat, manakala nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) juga mencatat angka lebih tinggi disokong pertumbuhan deposit tetap (FD.

 

"Jumlah pinjaman mencatatkan kenaikan sebanyak 4.9% dari tahun ke tahun, sebahagian besarnya disebabkan oleh pinjaman isi rumah yang stabil (+5.8%) dan pinjaman perniagaan meningkat 3.5% selepas merekodkan kenaikan yang lebih perlahan iaitu 1.5% pada Oktober. 

 

"Pertambahan jumlah pinjaman masih dipacu oleh pembelian hartanah kediaman dan kereta manakala sektor yang merekodkan pertambahan terbesar ialah sektor kewangan dan runcit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, GIL terus mencatatkan penurunan, sebanyak 3.3% dan hanya sektor isi rumah dan runcit yang mencatat kenaikan dari tahun ke tahun.

 

Katanya, mengikut pecahan pinjaman, kereta, kediaman dan kegunaan peribadi menjadi pendorong utama kepada kenaikan itu.

 

"Nisbah GIL mereda dari bulan ke bulan kepada 1.69% pada November manakala LLC meningkat dari bulan ke bulan kepada 92.9%. 

 

"Hal ini menunjukkan pemulihan daripada tahap rendah iaitu 90.6% pada Ogos 2023," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perbankan. - DagangNews.com