Sungai Klang Link, K-ECO jalin kerjasama rintis untuk projek pembinaan lebuh raya mampan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sungai Klang Link, K-ECO jalin kerjasama rintis untuk projek pembinaan lebuh raya mampan di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Sungai Klang Link Sdn Bhd (SKL) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik dengan Korea Environment Corporation (K-ECO) untuk projek pembinaan lebuh raya bertingkat mampan di Malaysia, sekali gus menjadi inisiatif julung kali yang menyepadukan aspek kesedaran alam sekitar ke dalam teras projek.

 

SKL memaklumkan, pihaknya mencadangkan projek lebuh raya bertingkat kepada Kerajaan Malaysia dan sedang mendapatkan kelulusan akhir untuk membina, memiliki dan mengendalikan lebuh raya tersebut selaku pemegang konsesi. 

 

Katanya, lebuh raya yang dicadangkan itu adalah sepanjang 53 kilometer dan dijajarkan di sepanjang Sungai Klang di kawasan Lembah Klang Raya.

 

"Projek tersebut yang kini dalam peringkat semakan semula oleh kerajaan, bersedia untuk diintegrasikan dengan lancar dengan rangkaian lebuh raya sedia ada. Pembinaannya merangkumi tujuh cadangan persimpangan bermula di Klang dengan persimpangan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Pantai Baru 2 (NPE 2) di Kuala Lumpur.

 

"Bagi menyahut gagasan berpandangan jauh SKL, K-ECO, sebuah entiti alam sekitar yang terkenal dengan rekod prestasi yang baik, berazam untuk menyumbangkan kepakaran, pengetahuan dan pengalaman luasnya kepada aspek pembangunan mampan projek tersebut. 

 

"Kerjasama ini melangkaui skop tradisional dalam pembinaan lebuh raya, apabila kedua-dua pihak bersama-sama mengambil kira aspek kemampanan dan alam sekitar yang penting dalam pembangunan projek," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sungai Klang Link, Datuk Mohd Nazri Ismail berkata, kerjasama itu akan memberi tumpuan khusus kepada tahap kesedaran alam sekitar dan amalan mampan sepanjang fasa pembinaan dan operasi lebuh raya. 

 

 

skl

 

 

Katanya, penglibatan K-ECO menyerlahkan komitmen bersama untuk menjajarkan projek ini dengan amalan terbaik alam sekitar dan memastikan pelaksanaan projek ini berlangsung secara harmoni dengan ekosistem persekitaran.

 

"Kerjasama unik ini bukan sahaja bertujuan untuk membina lebuh raya yang canggih. Namun, perkara yang lebih penting bagi kami ialah melaksanakan projek ini menggunakan pendekatan yang mengutamakan keharmonian ekologi dan pembangunan secara mampan. 

 

 

skl

 

 

"Bagi tujuan ini, SKL dan K-ECO bertekad untuk menetapkan piawaian baharu bagi projek infrastruktur yang akan memastikan tanggungjawab terhadap alam diterapkan dengan lancar ke dalam tahap kemajuan projek," katanya.

 

Secara keseluruhannya, kerjasama itu akan memastikan bahawa cadangan lebuh raya itu yang kini berada pada peringkat akhir kelulusan kerajaan, bukan sahaja akan menghubungkan wilayah-wilayah yang berlainan tetapi juga akan dilaksanakan secara berhemah dan mampan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar. - DagangNews.com