Sunny Loh, Pengerusi Eksekutif Nova MSC baharu | DagangNews Skip to main content

Sunny Loh, Pengerusi Eksekutif Nova MSC baharu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 April – Nova MSC Berhad telah melantik ahli perniagaan Singapura, Sunny Loh Guan Huat, sebagai Pengarah Eksekutif kumpulan itu, berkuatkuasa 1 April, 2021. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lai Teik Kin, berkata, Sunny Loh bakal membawa pandangan dan meneruskan momentum dalam mempercepatkan pelaksanaan keutamaan strategik kumpulan untuk mencapai pertumbuhan yang stabil.

 

"Kami berbangga dengan pelantikan Sunny Loh sebagai Pengerusi kami. 

 

“Pengalaman beliau yang meluas di dalam bidang pelaburan, penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta kewangan selain digabungkan dengan rangkaiannya yang meluas dengan hubungan perniagaan di rantau Asia Pasifik bakal menjadi aset yang bernilai buat kumpulan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Ketika ini, beliau juga merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Dex-Lab Ltd, iaitu syarikat dengan 60% kepentingannya dimiliki oleh Nova MSC, manakala baki kepentingan 40% dimiliki oleh Sunny Loh. 

 

Pada bulan Mei 2020, kumpulan memeterai perjanjian pegangan saham dengan Sunny Loh untuk bekerjasama dalam pembangunan serta pemasaran produk berkaitan artiicial intelligence (AI) dan perkhidmatan dalam industri robotik. 

 

Pelantikan baharu itu menandakan rakan kerjasama rapat antara dua pihak berkenaan.

 

Sunny Loh berkata: “Saya berbangga untuk menyertai kumpulan Nova MSC dan berharap dapat memberi pandangan dan pendapat saya pada masa yang sesuai apabila kumpulan sedang menuju ke arah usaha mengembangkan rangkaian ke ekonomi baharu.” 

 

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dari National University of Singapore (NUS), Ijazah Sarjana dalam Perniagaan Pentadbiran (MBA) di University of Hull. 

 

Beliau juga merupakan ahli bersekutu Chartered Secretaries Institute of Singapore and Chartered Institute of Secretaries. 

 

Dalam pada itu, Sunny Loh memegang jawatan Timbalan Pengerusi Bukan Eksekutif GBM Resources Ltd, syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Australia, Pengerusi Bukan Eksekutif Dex-Lab Private Ltd, serta Pengarah Urusan Swift Venture Holdings Corporation.

 

Jelas Nova MSC, Lembaga Pengarah dan Pengurusan Nova kumpulan berbangga untuk menambah lagi ahli yang memiliki bakat terbukti seiring dengan usaha kumpulan untuk mengembangkan prospek pertumbuhannya bagi jangka masa panjang. - DagangNews.com