Sunview Group raih projek solar skala besar, BESS di Uzbekistan | DagangNews Skip to main content

Sunview Group raih projek solar skala besar, BESS di Uzbekistan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Sunview Group Bhd menerusi Fabulous Sunview Sdn Bhd memeterai perjanjian pembangunan serta kerjasama dengan Kementerian Tenaga Uzbekistan bagi membangunkan dua loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Uzbekistan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata,  anak syarikatnya bertanggungjawab untuk terlibat dengan kerja-kerja mereka bentuk, kejuruteraan, perolehan dan pembinaan loji solar PV arus ulang-alik 400 megawatt (MWac) dengan 100 megawatt (MW)/200 megawatt jam (MWj) BESS di daerah Andijan.

 

"Mereka juga akan membangunkan loji solar PV 200 MWac dengan BESS 50MW/100MWh di daerah Fergana," katanya.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, HP Ong berkata, projek-projek itu akan menyediakan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan pada tahun-tahun akan datang, disokong oleh tarif yang menggalakkan untuk loji solar PV dan BESS.

 

"Projek-projek ini juga akan mempercepatkan peralihan Uzbekistan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE), membantu negara mencapai sumbangan 40% daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.

 

“Dengan meningkatkan sumbangan RE, projek kami bukan sahaja akan menyumbang kepada bekalan tenaga yang stabil tetapi juga mengurangkan jejak karbon negara,” katanya. - DagangNews.com