KUALA LUMPUR 7 Dis - Sunview Group Berhad (Sunview) memperoleh kontrak projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM122 juta daripada Nextenaga Sdn Bhd, untuk pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) skala besar 29.99 megawatt (MW) di Bukit Badong.
Dengan kontrak terbaru ini, buku pesanan Sunview yang tidak dibilkan meningkat kepada RM765.6 juta dan ditetapkan untuk diiktiraf dalam tempoh dua tahun kewangan berakhir (FYE) 31 Mac 2023 dan FYE 2024.
Kontrak PV melibatkan reka bentuk EPCC, kemudahan penjanaan tenaga suria, kemudahan interkoneksi Pengeluar Tenaga Suria (SPP) dan kerja-kerja SPP serta mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk projek EPCC dan kemudahan sambungan.
Kerja-kerja untuk loji PV dijangka akan bermula tidak lewat daripada 31 Disember 2022 dan tarikh siap dijadualkan 30 September 2023.
Tarikh operasi komersial yang dijadualkan ialah 31 Disember 2023 tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian pembelian kuasa tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, mereka teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Nextenaga dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan akan memanfaatkan kepakaran teknikalnya untuk membantu proses peralihan.
"Keupayaan kami untuk mendapatkan kontrak baharu secara berterusan terutamanya disebabkan oleh rekod prestasi kami terbukti dan pasukan teknikal dan pengurusan berpengalaman.
"Dengan itu, kami ingin membantu lebih banyak syarikat dalam menerima pakai tenaga boleh diperbaharui dengan menyediakan penyelesaian yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mereka sedang mencari tender untuk lebih banyak EPCC solar PV, projek biogas dan mengambil bahagian dalam Perjanjian Pembelian Kuasa Maya terkini dengan jumlah kuota 600 MW. - DagangNews.com