Sunway Construction mungkin menang lebih banyak projek pembinaan di India | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction mungkin menang lebih banyak projek pembinaan di India

Sunway Construction Group Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - MIDF Research tidak menolak kemungkinan syarikat pembinaan terkenal, Sunway Construction Group Berhad berjaya memenangi lebih banyak projek pembiaan di negara India.

MIDF Research berkata, kemungkinan tersebut dinilai berdasarkan kepada kejayaan syarikat tersebut dalam mendapatkan projek di negara berkenaan.

"Berdasarkan buku tendernya yang bernilai kira-kira RM8.4 bilion yang lebih daripada separuhnya adalah di luar negara iaitu India, Singapura dan Filipina yang merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan di luar negara.

"Syarikat tersebut telah menjayakan projek lebuh raya ke-8 di India pada suku pertama tahun kewangan 2020 yang bernilai kira-kira RM508 juta.

"Kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak projek pembinaan dari India berjaya dimenangi," kata MIDF Research.

Semalam, Sunway Construction juga telah berjaya menerima dua surat penghargaan bagi projek dalaman yang bernilai RM865.9 juta.

Perkara tersebut telah meningkatkan buku pesanan baharu kumpulan pada tahun kewangan 2020 kepada kira-kira RM2.0 bilion.

MIDF Research berpendapat, kejayaan tersebut adalah satu perkembangan positif bagi membuktikan tahap pengurusan kumpulan yang komited bagi mencapai matlamat.

Sunway Construction turut berjaya mendapatkan dua projek lain bersama Sunway Velocity Two Sdn. Bhd. dan Sunway Medical Center Sdn. Bhd. dengan nilaian projek masing-masing sebanyak RM253.6 juta dan RM612.3 juta.

"Kami percaya bahawa buku pesanan yang tertunggak bernilai kira-kira RM6.4 bilion termasuk projek yang baru diumumkan, yang akan diterjemahkan kepada jumlah pendapatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami juga berpendapat bahawa kumpulan itu mungkin memiliki lebihan kadar penambahan pekerjaannya sebanyak RM2.0 bilion pada tahun kewangan 2020," tambah MIDF Research.

MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan syarikat tersebut, selain turut mengekalkan sasaran harga sesaham (TP) kepada RM2.14. - DagangNews.com