Sunway, Gentari dan EV Connection bekerjasama bangunkan stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Sunway, Gentari dan EV Connection bekerjasama bangunkan stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negara

Stesen pengecas EV Gentari yang terletak di X Park Sunway Serene di Zon Perindustrian Perdagangan Bebas Sungai Way, Selangor.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mei - Kumpulan Sunway, Gentari Sdn Bhd dan EV Connection Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membina dan memasang stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di premis, bangunan komersial dan kemudahan milik Sunway di seluruh negara.

 

Melalui kerjasama ini, Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd akan menjadi rakan kongsi pembangunan bersama stesen pengecas EV di perbandaran dan pembangunan bersepadu Sunway.

 

Perjanjian ini juga akan menyaksikan EV Connection bekerjasama dengan Sunway untuk mengenal pasti lokasi strategik untuk pemasangan stesen pengecas ini di perbandaran bersepadu Sunway dan pembangunan di seluruh Malaysia.

 

Dengan kadar penggunaan kenderaan elektrik dan kesedaran yang semakin meningkat untuk pilihan lebih mampan dalam kalangan rakyat Malaysia, kerjasama antara Sunway, Gentari dan EV Connection merupakan satu langkah ke arah matlamat kerajaan untuk menjadi ekonomi neutral karbon menjelang 2050.

 

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata, sejak 2015, pihaknya menerima sepenuhnya 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG) dan memberi komitmen terhadap agenda kemampanan pada 2021 dengan ikrar mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan agenda iklim negara.

 

“Kenderaan elektrik semakin menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia. Bilangan EV yang semakin meningkat memerlukan rangkaian stesen pengecasan yang mantap di seluruh negara. 

 

"Kerjasama ini adalah langkah konkrit ke arah matlamat tersebut. Di Sunway, kami amat percaya bahawa kami semua boleh berbuat baik dengan melakukan kebaikan,” katanya yang mempengerusikan  Malaysia bagi Rangkaian Penyelesaian UN-SDSN.

 

 

sunway

 

 

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli pula berkata, MoU tersebut adalah satu lagi bukti usaha berterusan pihaknya untuk memacu penggunaan mobiliti hijau. 

 

"Kedudukan Sunway sebagai pemaju utama hartanah komersil dan kediaman di seluruh Malaysia, membolehkan Gentari membenarkan akses infrastruktur EV kepada lebih ramai pengguna di seluruh destinasi kediaman, tempat kerja dan rekreasi," katanya.

 

 

ev

 

 

Pengarah Urusan EV Connection, Ir Lee Yuen How berkata, kerjasama tiga pihak ini adalah usaha kolektif untuk menghimpunkan pemilik hartanah dan pengendali titik caj ke arah matlamat bersama untuk memacu revolusi mobiliti elektrik di rantau ini. 

 

"Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada ini dan berharap ia akan menjadi contoh ke arah lebih banyak kerjasama yang akan datang dan membina masa depan lebih bersih dan mampan," katanya.

 

Di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2023, Malaysia menyasarkan EV dan kenderaan hibrid menyumbang sekurang-kurangnya 15% daripada jumlah volum industri menjelang 2030. 

 

Selain itu, kerajaan menyasarkan untuk memiliki 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025. - DagangNews.com