Sunway Property, Putrajaya Holdings bangunkan hartanah komersial di Presint 7 dan Presint 8 | DagangNews Skip to main content

Sunway Property, Putrajaya Holdings bangunkan hartanah komersial di Presint 7 dan Presint 8

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov - Sunway Property, cabang perniagaan hartanah Sunway Bhd (Sunway) menjalin kerjasama strategik dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd bagi membangunkan hartanah komersial di Presint 7 dan Presint 8, Putrajaya.

 

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah, berkata MoU terbabit membuka peluang besar untuk memanfaatkan model perniagaan ‘Bina-Milik-Kendali’ syarikat untuk memajukan pembangunan hartanah dan penjagaan kesihatan di Putrajaya. 

 


"Kerjasama ini mewakili satu peluang untuk menyampaikan rumusan pembangunan mampan dan inovatif yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan komuniti.

 

"Ia juga mewujudkan asas untuk kerjasama masa depan antara organisasi dalam pelbagai sektor seperti perubatan, pendidikan, pembangunan hartanah, dan hospitaliti.

 

"Usaha kerjasama itu juga akan meneroka pembangunan pusat perubatan di salah satu bidang tanah," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Putrajaya Holdings ialah pemaju induk Putrajaya, salah satu projek pembangunan bandar terbesar di negara ini. 

 


Putrajaya Holdings mempunyai lebih daripada 20 projek pembangunan di Putrajaya yang terdiri daripada bangunan pejabat, hab komersial dan projek kediaman seperti Murraya di Presint 12, Fera di Presint 8, Pusat Beli-belah Alamanda di Presint 1.

 


Menurut Sunway, pembangunan pusat perubatan adalah strategik kerana Sunway Healthcare Group (SHG) ialah kumpulan penjagaan kesihatan swasta bersepadu dengan rangkaian hospital dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

 


Sunway akan memfokuskan kepakarannya dalam membangunkan perbandaran dan pembangunan bersepadu pintar dan mampan serta menggabungkannya dengan pengalaman Putrajaya Holdings dalam perancangan induk untuk mencipta pembangunan lebih mesra dan inovatif dengan menggunakan pembelajaran utama daripada pembangunannya yang berjaya. 

 


Sehingga kini, Sunway Property telah membangunkan lebih 2,023 hektar pembangunan bersepadu di seluruh negara termasuk Sunway City Kuala Lumpur, Sunway City Ipoh, Sunway City Iskandar Puteri, dan Sunway Velocity.
 

Pada pukul 4:55 petang ini, saham Sunway menokok 2 sen atau 1% kepada RM1.98 dengan permodalan pasaran sebanyak RM9.9 bilion.  - DagangNews.com