Sunway Property sasar jualan RM2.2 bilion | DagangNews Skip to main content

Sunway Property sasar jualan RM2.2 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Okt. -  Kumpulan pemaju hartanah Sunway Property menyemak semula sasaran jualannya kepada RM2.2 bilion untuk tahun ini selepas berjaya melepasi sasaran awal RM1.6 bilion pada separuh pertama 2021.

 

Pengarah Eksekutif Wilayah Tengah Sunway Property, Chong Sau Min berkata, syarikat akan melancarkan empat projek pembangunan baharu tahun ini iaitu Sunway Artessa, Sunway d’hill, Sunway Velocity TWO Tower D, dan Sunway Belfield Tower C dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan berjumlah RM1.8 bilion.

 

Katanya, kesemua pelancaran baharu akan merangkumi reka bentuk lestari yang dilengkapi dengan kemudahan gaya hidup, kualiti pembinaan dan udara yang lebih baik, serta memberikan penjimatan kos untuk tenaga dan air.

 

"Terdapat permintaan bagi pembangunan residensi yang mengutamakan kesejahteraan berikutan ancaman pandemik COVID-19.



"Setiap pembangunan terletak secara strategik dengan reka bentuk yang teliti, landskap yang subur dan ciri-ciri norma baharu termasuk lobi berventilasi semula jadi, ruang kerja bersama dan ciri lain untuk kehidupan lestari dengan harga bermula dari RM525,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan kempen "Always with You 2021" yang berlangsung dari 15 Oktober hingga 31 Disember sempena pelancaran empat projek baharu Sunway Property.

 

Empat projek tersebut adalah Sunway Serene, Sunway Velocity TWO, Sunway Belfield, Sunway Artessa dan Sunway d’hill.


Katanya, kempen yang berlangsung bermula 15 Oktober hingga 31 Disember ini membolehkan pembeli memanfaatkan pembayaran tanpa faedah sehingga 12 bulan untuk penjimatan sehingga RM 23,000.



"Selain tawaran tersebut, menerusi kempen pemilikan rumah (HOC), pemilik rumah baharu akan menikmati pengecualian duti setem pinjaman yang memberikan mereka penjimatan sehingga RM32,000.



"Sepanjang tempoh kempen, pembeli juga berpeluang memenangi hadiah hadiah mingguan bernilai RM 63,888 termasuk pembersih vakum dan kipas Dyson, televisyen pintar dan oven Panasonic,  iPad Pro dan pembesar suara Bose," katanya. -DagangNews.com