Sunway Property sasar jualan sebanyak RM2.6 bilion pada 2024 didorong pelancaran 4 produk baharu | DagangNews Skip to main content

Sunway Property sasar jualan sebanyak RM2.6 bilion pada 2024 didorong pelancaran 4 produk baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Sunway Property Bhd menyasarkan jualan sebanyak RM2.6 bilion pada 2024 selepas kejayaan mencapai jualan RM2.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Pemaju hartanah itu berkata, bagi tempoh yang sama, mereka juga menyampaikan pelancaran bernilai RM4.4 bilion dan memegang jumlah baki tanah seluas 1,071 hektar dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM52.9 bilion.

 

Pengarah Urusan Sunway Property, Serena Cheah berkata, ketika ketidaktentuan ekonomi berterusan, pihaknya tetap optimis terhadap daya tahan pasaran hartanah, terutamanya di Johor, di mana terdapat peluang pertumbuhan daripada projek seperti Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

Beliau berkata, kumpulan itu juga merancang untuk melancarkan empat produk baharu di seluruh negara yang direka berdasarkan Seni Bina Reka Bentuk & Pembangunan Sunway (SDDA) dan empat fokus utama iaitu kemampanan, inovasi, kesihatan & kesejahteraan serta gaya hidup & pengalaman baharu.

 

Katanya, di Lembah Klang, Sunway Porperty bersedia untuk melancarkan Sunway Velocity 3, fasa seterusnya pembangunan kediaman di Kuala Lumpur manakala Sunway Aviana di Sunway City Iskandar Puteri akan memperkenalkan rumah teres dua tingkat baharu.

 

"Kami juga akan melancarkan Sunway Bayu, yang terdiri daripada rumah teres felksi yang terletak di Sunway City Ipoh yang akan siap tahun ini. Selain itu, Sunway Ipoh Mall juga akan dibangunkan dengan keluasan lantai kasar 1.5 juta kaki persegi dijangka siap menjelang 2027.

 

"Di Pulau Pinang, kami akan lancarkan Sunway Wellesley, sebuah pembangunan kediaman berpagar di Bukit Mertajam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi pasaran antarabangsa, Serena berkata, dua projek dijangka siap tahun ini iaitu Parc Central dan Ki Residences, yang diunjurkan meningkatkan keuntungan dengan ketara pada 2024. 

 

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengembangkan jejaknya di Singapura, setelah berjaya mendapatkan dua tapak kondominium baharu dalam tempoh enam bulan.

Mengulas mengenai pasaran China, beliau berkata, Sunway Property akan melancarkan fasa berikutnya Tianjin Eco City dengan GDV lebih RM243 juta.

 

"Sunway Property kekal fokus untuk meneroka peluang pengembangan menerusi pemerolehan bank tanah strategik di China serta pasaran Asia Tenggara dalam bagi memastikan pertumbuhan mampan di peringkat antarabangsa," katanya. - DagangNews.com