Sunway REIT dijangka beri fokus kepada pembangunan portfolio runcit, tingkatkan daya tahan pendapatan menjelang FY27 | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT dijangka beri fokus kepada pembangunan portfolio runcit, tingkatkan daya tahan pendapatan menjelang FY27

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) dijangka memberi fokus kepada pembangunan portfolio runcit pelbagai bagi meningkatkan daya tahan pendapatan menjelang FY27.

 

TA Securities berkata, portfolio itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Pusat Beli-belah Super Serantau, Pusat Beli-belah Serantau, Pusat Beli-belah Kejiranan dan Runcit Big-Box. 

 

Pusat beli-belah serantau, seperti Sunway Pyramid, menarik gabungan pelawat tempatan dan antarabangsa, manakala pusat beli-belah Sunway Carnival tertumpu kepada kawasan yang semakin berkembang seperti Pulau Pinang. 

 

Pusat beli-belah kejiranan dan big-box retail akan memenuhi keperluan harian komuniti kediaman berdekatan.

 

"Pendekatan ini membolehkan Sunway REIT memanfaatkan pangkalan pengguna yang lebih luas bagi memastikan aliran pendapatan yang lebih seimbang dan berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengambilalihan terkini, termasuk enam pasar raya besar Giant untuk segmen big-box retail dan 163 Mall di Mont Kiara dan Kluang Mall untuk pusat membeli-belah kejiranan menggariskan fokus Sunway REIT pada kepelbagaian runcit.

 

Pengambilalihan Kluang Mall juga menandakan kemasukan pertama REIT ke Johor tengah, sebuah wilayah yang bersedia untuk mendapat manfaat daripada projek infrastruktur yang akan datang.

 

"Menjelang FY27, portfolio runcit dijangka terdiri daripada 40% pusat beli-belah serantau, 30% pusat beli-belah serantau, 20% pusat beli-belah kejiranan, dan 10% big-box retail, berbanding 63% pusat beli-belah serantau, 15 % pusat beli-belah serantau, 12% pusat beli-belah kejiranan dan 10% big-box retail ketika ini.

 

"Kami menjangkakan kepelbagaian ini akan menyokong pertumbuhan mampan, meningkatkan daya tahan portfolio dan mengurangkan kebergantungan kepada satu segmen, sambil memanfaatkan pertumbuhan tinggi, pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

"Ia juga meletakkan Sunway REIT untuk menyesuaikan diri dengan perubahan trend pengguna dan keadaan pasaran," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities berkata, Sunway REIT berjaya mengekalkan kadar penghunian yang tinggi tanpa mengorbankan pertumbuhan sewa. 

 

Pada separuh pertama 2024, segmen runcit menyaksikan pengembalian sewa, disokong oleh prospek pasaran yang positif dan permintaan yang kukuh.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.98 sesaham.- DagangNews.com