Sunway REIT selesai ambil alih 6 pasar raya, yakin sumbang peningkatan NPI suku akan datang | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT selesai ambil alih 6 pasar raya, yakin sumbang peningkatan NPI suku akan datang

Sunway REIT memiliki portfolio hartanah pelbagai termasuk pusat beli-belah, hotel dan menara pejabat.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Mei - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) yakin hasil sewaan daripada enam pasar raya besar yang baru diambil alih dengan kos RM520 juta akan meningkatkan pendapatan hartanah bersih (NPI) Kumpulan itu pada suku tahun kewangan akan datang.

 

Menurut Sunway REIT, pengambilalihan enam buah pasar raya besar yang terletak di Lembah Klang dan Johor dilengkapkan pada 30 April 2024.

 

"Sumbangan sewa dari hartanah-hartanah tersebut akan meningkatkan NPI suku-suku yang akan datang," kata Sunway REIT dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Clement Chen, berkata, dengan pengambilalihan ini, Sunway REIT mengembangkan portfolio asetnya kepada 25 hartanah termasuk hartanah pertamanya di Johor.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway REIT beli enam hartanah di Lembah Klang, Johor daripada KWSP bernilai RM520 juta

 

"Kami kini mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM9.5 bilion, mengukuhkan kedudukan sebagai REIT tersenarai kedua terbesar di Malaysia," jelasnya.

 

Sementara itu, Sunway REIT melaporkan penurunan pendapatan sebanyak 2% kepada RM178.6 juta dalam 1Q 2024, berbanding RM182.8 juta dalam suku pertama 2023.

 

NPI juga sedikit lebih rendah pada RM130.5 juta dalam 1Q 2024, berbanding RM138.3 juta setahun sebelumnya.

 

GIANT

 

ARTIKEL BERKAITAN: MIDF Research positif terhadap pembelian 6 pasar raya Giant oleh Sunway REIT

 

"Penyusutan dalam kedua-dua pendapatan dan NPI adalah terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah dari segmen Perkhidmatan berikutan berakhirnya sumbangan sewa dari Pusat Perubatan Sunway (Menara A & B) yang dijual dalam 3Q 2023.

 

"Namun ianya diimbangi oleh prestasi yang lebih baik dari segmen Hotel, Pejabat dan Industri & Lain-lain.

 

"Pendapatan segmen Runcit tetap stabil pada RM126.3 juta dalam 1Q 2024 walaupun gangguan sementara daripada kerja penyelenggaraan di dua pusat beli-belah utama, iaitu Sunway Pyramid Mall dan Sunway Carnival Mall," katanya.

 

Melihat ke hadapan, Clement berkata, Sunway REIT tetap optimis dalam berhati-hati untuk tahun 2024, didorong oleh prestasi yang berdaya tahan dalam segmen runcit dan pemulihan yang stabil dalam kedatangan pelancong. 

 

"Selain itu, kami menjangkakan potensi NPI tambahan  dengan penyelesaian pembelian yang dicadangkan dan inisiatif peningkatan aset yang sedang berjalan di Sunway Pyramid Mall yang dijadualkan siap pada separuh kedua tahun 2024," ujarnya. - DagangNews.com